Guilherme De Paula menyedari kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
Ini selepas penyerang naturalisasi berusia 34 tahun itu menunjukkan aksi hambar ketika perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan.
Bagaimanapun, beliau dilihat tidak begitu bimbang dengan kritikan tersebut.
“Saya hidup dengan kritikan,” katanya kepada Astro Arena.
“Saya tahu, sesetengah peminat macam pembenci. Ada yang suka ada yang tidak.
“Saya tidak mempedulikannya walaupun menyedari nama saya disebut di media sosial.
“Tapi saya tidak mengambil pusing sangat kerana karakter saya sebagai pemain bola sepak.”
Beliau memahami dengan kritikan yang dilemparkan, namun menegaskan bahawa beliau tetap memberikan sumbangan kepada skuad kebangsaan.
“Ini lumrah, saya bukan lagi pemain muda, saya sudah berumur 34 tahun.
“Dalam bola sepak di Malaysia, saya sedar kritikannya. Kini pemain naturalisasi ini dapat menyumbat gol untuk Malaysia, saya gembira.”
Sebaliknya, De Paula mahu berusaha lebih keras untuk beraksi lebih baik di masa akan datang.
“Ia ibarat pembulian. Saya sedar nama saya disebut-sebut. Saya perlu kuatkan mental kerana mereka menagih lebih banyak jaringan lagi.
“Ia sukar untuk dikawal jadi saya perlu bekerja keras lagi.
“Saya mahu tunaikan janji kerana saya tahu kemampuan sendiri.
“Apa yang perlu lakukan ialah berusaha dan berdiam diri.”