Liga Super Malaysia Berita

Terengganu akui ejen dari Portugal, Sepanyol berminat dengan Faisal Halim

Pengurus Terengganu, Zulfadli Rozi mengakui prestasi pemainnya, Faisal Halim telah menarik perhatian ejen pemain dari Portugal dan Sepanyol.

Ini selepas Faisal beraksi dengan baik dengan skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan dengan Uzbekistan dan Jordan, minggu lalu.

“Mickey masih tidak menyangka ia berlaku,” katanya kepada Astro Arena.

“Eloklah ia diserahkan kepada ejennya dan kalau ada apa-apa perkembangan barulah kami bincang di peringkat pengurusan.

“Untuk pengetahuan, Mickey juga mempunyai klausa pelepasan dengan kami.”

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nilai klausa tersebut, sebaliknya menegaskan bahawa Faisal masih mempunyai kontrak hingga November 2022

“Klausa ini melibatkan pampasan yang banyak, ia memerlukan persetujuan kelab dengan pemain.

“Apabila mahu meletakan jumlah tertentu, ia harus mendapat persetujuan daripada kelab dan pemain.

“Ia mungkin boleh melebihi enam angka. Kalau tengok pasaran dunia sekarang boleh mencecah jutaan ringgit.

“Walaupun ia melibatkan pemain di Eropah tapi ia sebenarnya tiada had, cuma terpulang kepada kepada pemain dan kelab.”