Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Ifedayo Olusegun pecah rekod Ghaddar, kini penjaring terbanyak Liga Super

Musim yang cukup menakjubkan buat Ifedayo Olusegun, apabila beliau muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super dalam satu musim dengan 25 gol setakat ini.

Sebelum ini, rekod itu dipegang oleh Mohamad Ghaddar yang menjaringkan 23 gol ketika beraksi dengan Kelantan dan JDT pada musim 2017.

Namun, Ifedayo memecahkan rekod Ghaddar apabila menjaringkan hatrik ketika Selangor menewaskan Sabah 6-0 di Kota Kinabalu semalam.

 

Penyerang berusia 30 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-22, 24 dan 89 untuk melengkapkan hatriknya.

“Cukup bersyukur dengan prestasi saya, cukup bersyukur dengan Tuhan,” kata Ifedayo selepas perlawanan.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan, kalau tidak kerana mereka, saya tidak akan dapat pecahkan rekod ini.

“Mereka banyak membantu saya, ia bukan sahaja mengenai kerja keras, ia juga kerana pasukan, jurulatih, pihak pengurusan, para pemain, semua yang berkhidmat di Selangor.

“Peminat terus memberikan sokongan walaupun dalam waktu yang sukar. Ada perlawanan yang tidak berakhir dengan baik, tetapi mereka tetap memberikan sokongan, jadi terima kasih kepada rakan sepasukan, terima kasih kepada mereka.

“Kami yang pecahkan rekod ini, bukan saya.”

 

Ifedayo masih berpeluang untuk menambah rekod peribadinya apabila Selangor akan bertemu PJ City dalam perlawanan terakhir Liga Super pada 12 Sept ini.

Namun, Bergson yang menjaringkan 23 gol juga berpeluang untuk mengejar Ifedayo apabila JDT akan menerima kunjungan KL City di Stadium Sultan Ibrahim pada 12 Sept ini.