Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Terengganu catat kemenangan ke-11, Perak kalah dengan pasukan tercorot Liga Super

Saingan Liga Super semalam menyaksikan Terengganu terus kekal di tempat ke-2 selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Kuala Terengganu.

Terengganu menjaringkan gol pendahuluan menerusi David Da Silva pada minit ke-12 sebelum Faisal Halim menanduk masuk gol pada minit ke-24.

Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan, menyaksikan Terengganu kini mencatatkan kemenangan ke-11 musim ini dan mengharungi tiga perlawanan berturut-turut tanpa kalah setakat ini.

Terengganu mengumpul 37 mata selepas 18 perlawanan, namun masih jauh ketinggalan dengan pendahulu liga JDT yang mempunyai 42 mata.

Pulau Pinang pula kekal di tangga ke-3 Liga Super selepas menewaskan Melaka United 2-1 dengan penuh dramatik kerana kedua-dua pasukan mengambil masa hingga lewat separuh masa kedua untuk menjaringkan gol.

Pulau Pinang meraih gol pendahuluan menerusi sepakan penalti Rafael Vitor pada minit ke-75 selepas Casagrande dijatuhkan dalam kotak penalti, namun Melaka United menyamakan kedudukan menerusi tandukan Giovane Gomes da Silva pada minit ke-90.

Dengan perlawanan hampir tamat, Melaka dikejutkan dengan tendangan deras Sheriddin Bovoev untuk memastikan Pulau Pinang meraih tiga mata penuh dan mencatatkan kemenangan ke-9 musim ini.

Kini, Pulau Pinang mengumpul 31 mata dalam 17 perlawanan, beza 6 mata di belakang Terengganu manakala Melaka di tangga ke-10 dengan 16 mata.

KL City mencatatkan 8 perlawanan berturut-turut tanpa kalah apabila menewaskan PJ City 1-0 di ibu negara malam tadi.

Paulo Josue menjadi satu-satunya penjaring gol tunggal KL City apabila menembusi gawang gol PJ City pada minit ke-31.

KL kini mengumpul 24 mata selepas 18 perlawanan manakala PJ City yang mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut mengumpul 18 mata dalam 17 perlawanan.

Selain PJ City, pasukan Perak juga mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut apabila tewas mengejut 2-0 kepada pasukan tercorot Liga Super, UiTM FC.

UiTM mendahului menerusi Sean Gan Giannelli pada minit ke-30 sebelum Shafiq Al-Hafiz melengkapkan kemenangan ke atas Perak.

Yang lebih mengejutkan, ia merupakan kemenangan pertama UiTM musim ini selepas mengumpul 5 mata daripada 17 perlawanan, selepas mencatatkan 14 kekalahan musim ini.

Kini Perak mencatatkan kekalahan ke-11 musim ini, dengan mengumpul 13 mata daripada 18 perlawanan, 3 mata di belakang Melaka United.