UEFA Champions League Berita

[VIDEO] Chelsea juara Liga Juara-Juara Eropah, Man City kempunan lagi

Chelsea meraih gelaran kedua Liga Juara-Juara Eropah dan menafikan peluang Pep Guardiola dan Manchester City setelah gol tunggal Kai Havertz mmemberikan kemenangan 1-0 di final di Estadio Do Dragao malam tadi.

Pemain Jerman berusia 21 tahun itu berjaya membawa lari bola melepasi Ederson sebelum merembat bola ke gawang kosong pada minit ke-42.

Man City selaku juara Premier League menjadi pilihan utama untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah tetapi gagal mempamerkan aksi memberangsangkan.

Walaupun memenangi tiga daripada empat kejuaraan Premier League untuk City, Guardiola masih gagal memenangi trofi Eropah yang diingininya selepas kali terakhir memenanginya bersama Barcelona pada 2011.

Bagi jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel, kemenangan itu merupakan kemenangan manis setelah mengalami kekalahan di pentas final ketika mengendalikan Paris Saint Germain musim lalu melawan Bayern Munich, malah beliau baru sahaja empat bulan mengambil alih dari Frank Lampard.

“Untuk berkongsi dengan semua orang adalah luar biasa. Kami berjaya. Wow. Saya tidak tahu apa yang harus saya rasakan,” kata Tuchel.

“Saya sangat bersyukur dapat berada di final kali kedua.

“Para pemain bertekad untuk memenanginya. Kami mahu menjadi batu di kasut mereka. Kami mendorong semua orang untuk tingkatkan prestasi, untuk menjadi lebih berani.”

Guardiola pula redha dengan kekalahan itu, walaupun beliau mengakui kecewa tidak dapat merangkul trofi Eropah.

“Cara kami bermain permainan di separuh masa kedua, mereka melakukan satu serangan balas dengan Pulisic. Mereka adalah pasukan yang sangat bagus, tetapi kami bersaing dengan mereka. Pada separuh masa kedua kami layak menjaringkan satu gol tetapi kami tidak dapat lakukannya.

“Saya ingin mengatakan bahawa ini adalah musim yang luar biasa bagi kami. Sayangnya kami tidak dapat menang. Kami mencuba, tetapi kami tidak dapat melakukannya dan akan bekerja lebih keras dari sini.”