UEFA Berita

UEFA: Liga Super Eropah hanya demi wang, kelab gergasi tamak dan pentingkan diri

Pelancaran Liga Super Eropah secara rasmi mengundang kemarahan semua pihak, termasuklah presiden UEFA, Aleksander Ceferin.

Ini selepas 12 pasukan bersepakat untuk menyertai kejohanan yang disifatkan sebagai ‘Liga Kayangan’ iaitu Arsenal, Chelsea, Liverpool, Man City, Manchester United, Tottenham, Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, Juventus, Inter Milan dan AC Milan, sekali gus membelakangi kejohanan berprestij Eropah iaitu Liga Juara-Juara Eropah (UEFA Champions League).

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin meluahkan perasaannya dengan penuh emosi kepada media berhubung cadangan Liga Super Eropah, selain mendedahkan perubahan format Liga Juara-Juara Eropah bermula musim 2024.

Ini kenyataan penuhnya:

“Kami memulakan projek ini (format Liga Juara-Juara baharu) untuk memodenkan pertandingan sejak awal 2019, dipandu oleh prinsip bahawa ia harus dipraktikkan dalam kepemimpinan inklusif.

“Pada awal proses ini, didorong oleh keinginan untuk mengembangkan pertandingan kelab UEFA menjadi sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini, dengan sokongan sebulat suara Persatuan Kelab Eropah (ECA), kami banyak mengadakan rundingan sepanjang pertandingan berlangsung.

“Pasukan akan memenuhi syarat dan bersaing dalam pertandingan kami atas dasar merit, bukan dengan cara kedai tertutup yang dikendalikan oleh beberapa orang terpilih. Itu adalah keputusan kami sejak awal, dan mana-mana kelab dan peminatnya tetap mempunyai impian untuk menyertai Liga Juara-Juara berdasarkan prestasi di atas padang.

“Saya tidak dapat menegaskan lagi betapa ketika ini, UEFA dan dunia bola sepak bersatu menentang cadangan memalukan dan mementingkan diri sendiri yang telah kita lihat dalam 24 jam terakhir dari beberapa kelab terpilih di Eropah yang didorong oleh ketamakan semata-mata.

“Dan bukan hanya bola sepak yang bersatu, semua masyarakat bersatu, ketua-ketua kerajaan bersatu, itu adalah sebahagian budaya kita, kita semua bersatu menentang projek mengarut ini.

“Kami mempunyai FA Inggeris, FA Sepanyol, FA Itali, Premier League, La Liga, Serie A, tetapi juga FIFA, semua 55 persatuan anggota kami – sangat bertentangan dengan rancangan ini, yang sangat bertentangan dengan bola sepak yang sebenar-benarnya.

“Sukan ini telah menjadi sukan terhebat di dunia berdasarkan pertandingan secara terbuka, integriti dan prestasi sukan, dan kami tidak boleh membiarkan dan kami tidak akan membiarkannya berubah. Tidak pernah, tidak pernah.

“Seperti yang diumumkan sebelumnya oleh FIFA dan enam (benua) persekutuan, pemain yang akan bermain dalam pasukan yang mungkin bermain di liga tertutup ini akan dilarang bermain di Piala Dunia dan Euro, jadi mereka tidak akan dapat mewakili pasukan kebangsaan mereka dalam sebarang perlawanan.

“Kami mendesak semua orang, dari berjuta-juta pencinta bola sepak di seluruh dunia, media dunia berkumpul, para ahli politik dan badan-badan pentadbir bola sepak untuk berdiri bersama kami, kerana kami melakukan sedaya upaya untuk memastikan ini tidak akan menjadi kenyataan.

“Saya percaya sepenuh hati, kita semua percaya bahawa perubahan yang kita umumkan sekarang adalah langkah seterusnya yang diperlukan dalam evolusi bola sepak.

“Ia liga yang menarik, dan ia mempertahankan nilai-nilai kesukanan yang kita semua gemari.

“Kami juga akan memperkenalkan struktur sokongan baharu, yang dibangun berdasarkan model kewangan yang disemak semula, yang meningkatkan pendapatan peserta dan yang penting, melihat pembayaran solidariti juga meningkat, mendorong kesan positif di seluruh perlawanan Eropah, hingga ke akar umbi.

“Saya ingin menekankan apa yang tidak diketahui oleh kebanyakan peminat: UEFA mengagihkan hampir 90% daripada semua pendapatan kembali kepada seluruh peringkat bola sepak, bukan hanya kepada bola sepak profesional.

“Kami membiayai belia, kami membiayai akar umbi, kami membiayai bola sepak wanita, kami mempunyai yayasan, yayasan anak-anak, yang mempunyai projek amal yang hebat, jadi sesiapa yang menganggap Liga Super adalah mengenai wang dan UEFA juga mengenai wang adalah tidak betul.

“Liga Super hanya berkaitan dengan wang, wang berjuta-juta, saya tidak mahu memanggil ia wang kotor, tetapi UEFA mengembangkan bola sepak, dan membiayai apa yang harus dibiayai, agar bola sepak, budaya kita, bertahan dan sebilangan orang tidak memahaminya.

“Pembaharuan Liga Juara-Juara mempertahankan nilai dan kepentingan permainan domestik, dengan mempertahankan prinsip bahawa prestasi domestik harus menjadi kunci untuk kelayakan. Ini seharusnya dan tidak akan pernah berubah.

“Liga Eropah adalah kejayaan terbesar sukan moden, dan ada sebabnya, kerana piramidnya, kerana sejarahnya yang panjang, kita selalu menyesuaikan persaingan Eropah untuk memastikan liga ini semakin menarik dan semakin moden. Tetapi prinsipnya tidak boleh berubah.

“Solidariti adalah sesuatu yang kekal selama-lamanya. Bagi sesetengah orang, solidariti tidak wujud. Perpaduan tidak wujud. Satu-satunya perkara yang wujud adalah poket mereka. Akhirnya, kami percaya bahawa perubahan ini dan struktur sokongan yang kami laksanakan dapat melindungi sukan kita dengan sewajarnya.

“Format baharu mengekalkan persaingan terbuka di Eropah, ia membawa semua nilai, pentingnya bola sepak domestik dan yang penting, pertandingan kelab elit terkemuka di dunia tetap menjadi pendorong yang menyokong keseluruhan struktur bola sepak Eropah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua keluarga bola sepak, yang bermaksud pemain, peminat, jurulatih, persatuan kebangsaan, liga dan kelab.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua kerajaan di seluruh Eropah. Saya ingin mengucapkan terima kasih terutama kepada Perdana Menteri UK, Boris Johnson, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Schinas, Presiden Parlimen Eropah, Sassoli, dan semua pemimpin lain di Eropah yang menghormati kami sebagai peminat, yang menghormati budaya kita, yang menghormati nilai yang merupakan nilai Eropah, bukan hanya nilai bola sepak.

“Bagi saya, idea Liga Super Eropah ini meludah ke muka semua pencinta bola sepak, dan masyarakat kita juga, jadi kita tidak akan membiarkan mereka mengambilnya dari kita.”