Liga Super Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe akui akan ada muka baharu sertai Harimau Malaya

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe memberi bayangan bahawa beliau kemungkinan besar akan menyenaraikan beberapa muka baharu untuk skuad kebangsaan.

Beliau menjelaskan, beberapa muka baharu dijangka tersenarai memandangkan terdapat beberapa pemain ketika ini mengalami kecederaan.

Disebabkan itu, beliau berkata, barisan kejurulatihan terpaksa menyenaraikan lebih ramai pemain baharu termasuk meletakkan mereka dalam senarai penerima vaksin bagi memudahkan untuk dibawa ke UAE sekiranya terpilih.

“Kita tahu Shahrul Saad cedera termasuk Rizal Ghazali dan Matthiew Davies,” katanya kepada Harian Metro.

“Saya harapkan pemain lain bebas cedera pada masa akan datang. Pada masa sama, kita pun ada senarai pemain baharu dan sentiasa pantau kemampuan mereka untuk diserap dalam skuad kebangsaan.”

Skuad kebangsaan dijangka menerima suntikan dos kedua pada 10 Mei, sebelum berkumpul pada 16 Mei untuk sesi kem latihan pusat sebagai persediaan untuk ke Dubai, UAE pada 20 Mei.