Liga Super Malaysia Berita

Liga Super: Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang raih kemenangan pertama

Empat perlawanan pembukaan Liga Super hari ini menyaksikan Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang meraih kemenangan pertama bagi musim 2021.

Selangor menewaskan Pahang 3-1 dengan dua gol dijaringkan oleh pemain import tengah Switzerland, Oliver Buff dan satu lagi dijaringkan oleh Shahrel Fikri.

Terengganu pula meraih kemenangan dramatik apabila menewaskan UiTM FC 2-1. UiTM mendahului perlawanan menerusi Mohd Fauzi Abdul Latif pada minit ke-32.

Dengan perlawanan berbaki 15 minit sahaja lagi, Terengganu akhirnya meraih gol penyamaan menerusi jaringan David Da Silva pada minit ke-76 sebelum pemain gantian Hakimi Abdullah meraih gol kemenangan pada minit ke-87.

Pertemuan muka baharu Liga Super memihak kepada Pulau Pinang apabila menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City hasil jaringan David Rowley pada minit ke-28.

Hasrat Melaka untuk meraih kemenangan pertama di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila diikat seri 1-1 oleh Sabah.

Hamran Peter menjaringkan gol pendahuluan buat Sabah pada minit ke-45, namun Melaka menyamakan kedudukan menerusi S Kumahraan pada minit ke-63.

Perlawanan antara Perak dan PJ City di Ipoh, esok akan melengkapkan minggu pertama Liga Super musim ini.