Liga Super Malaysia Berita

JDT juara Piala Sumbangsih 2021

Johor Darul Ta’zim FC menjulang Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun bergelut dengan prestasi dalam tempoh 30 minit pertama apabila gagal menyusun atur gerakan bola dengan baik, dengan setiap serangan mudah dipatahkan oleh bahagian pertahanan.

Ia memaksa bahagian serangan JDT dan Kedah membuat percubaan dari jarak jauh. JDT dua ke tiga kali membuat percubaan yang sekadar terkena tiang atau melepasi gawang gol.

Namun, JDT akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila Safawi Rasid yang baru sahaja pulang dari Portugal menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-35 hasil gerakan pantas yang bermula daripada sepakan penjuru.

Kedah bagaimanapun gagal menyamakan kedudukan sehingga tamat separuh masa pertama.

JDT lebih agresif di separuh masa kedua, namun Kedah berjaya menterjemahkan strategi Aidil Sharin dengan menutup segala ruang untuk pasukan lawan menjaringkan gol dari jarak dekat.

Namun, tekanan demi tekanan daripada JDT akhirnya membuahkan hasil apabila Kedah terlepas kawalan bola kepada Leandro Velazquez yang menggelecek dua pemain Kedah sehingga berjaya membuat hantaran kepada Fernando Rodriguez yang terus memberikan bola kepada Natxo Insa.

Insa yang beraksi dalam 9 daripada 11 perlawanan Liga Super musim lalu, membuat kejutan apabila merembat bola dari luar kotak penalti menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-68.

Jaringan itu seolah-olah membunuh semangat Kedah, dengan keputusan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

JDT sekali gus meraih tiga mata penuh dalam saingan Liga Super bagi musim 2021.

Satu permulaan baik buat JDT untuk mempertahankan gelaran juara Liga Super, malah dalam landasan terbaik untuk memenangi kejuaraan kali ke-8.