Liga Super Malaysia Berita

10 perpindahan terbaik pemain Liga Super 2021

Saingan Liga Malaysia musim 2021 baru sahaja bermula dan jendela perpindahan pertama akhirnya melabuhkan tirainya pada 5 Mac.

Semua pasukan berdepan pelbagai cabaran terutamanya dalam soal proses penswastaan kelab, mencari penajaan dan mengukuhkan kewangan pasukan sepanjang berada dalam tempoh pandemik Covid-19.

Namun, mendapatkan pemain berkaliber dan berbakat sentiasa menjadi agenda utama mana-mana pasukan dalam memberi saingan liga pada musim ini.

Football Tribe menyajikan 10 perpindahan pemain yang dijangka memberikan impak dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Nik Akif Syahiran
Dari Kelantan ke Terengganu

Nik Akif Syahiran Nik Mat merupakan salah seorang pemain berbakat dalam generasi terbaru bola sepak Malaysia.

Pemain tengah berusia 21 tahun yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu mula mendapat perhatian peminat apabila beraksi cemerlang bersama skuad B-19 negara. Beliau juga pernah dicalonkan sebagai Pemain Muda Harapan dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan.

Beliau kemudian diserap masuk dalam skuad utama Kelantan dan menjadi salah seorang pemain penting dibawah kendalian Yusri Che Lah pada musim 2019 dan 2020.

Ia satu kehilangan buat Kelantan namun ia menjadi kelebihan buat Terengganu yang mahu berada di kedudukan lebih baik musim ini terutamanya dalam usaha untuk mencabar pendahulu liga, JDT.

Shahrel Fikri
Dari Perak ke Selangor

Tidak ramai yang sedar bagaimana prestasi Shahrel meningkat dalam setiap musim.

Bermula sebagai penyerang yang tidak begitu dikenali di PKNP, beliau kemudian beraksi dengan Nakhon Ratchasima, sebelum kembali ke Malaysia dan beraksi sebagai penyerang utama untuk pasukan Perak.

Tahun lepas tahun paling menakjubkan. Shahrel mencapai kemuncak prestasinya apabila menjaringkan 10 gol dalam 11 perlawanan, meskipun bersaing posisi dengan Guilherme de Paula.

Perpindahannya ke Selangor menunjukkan bahawa beliau mempunyai cita-cita tinggi untuk membuktikan keupayaannya di peringkat lebih tinggi dengan pasukan terkemuka.

Ia juga penambahan yang dinanti-nantikan oleh Selangor, yang ketandusan penyerang tempatan berkaliber sejak Hazwan Bakri dan Amri Yahyah meninggalkan pasukan itu.

Danial Amier Norhisham
Dari Felda ke JDT

Danial merupakan salah seorang pemain produk Frenz United. Beliau menyertai bola sepak profesional apabila menyertai Felda United pada 2017 dan tidak memerlukan masa lama untuk memikat ketua jurulatih B Sathiananthan ketika itu untuk diserap masuk dalam skuad utama pasukan.

Prestasinya juga menarik perhatian jurulatih pasukan kebangsaan ketika itu sehingga terpilih untuk beraksi dengan skuad B-19, B-23, skuad Sukan SEA 2017 serta akhirnya terpilih dalam skuad kebangsaan dibawah kendalian Tan Cheng Hoe pada 2019.

JDT sudah lama menunjukkan minat terhadap Danial, dan ia menjadi satu cabaran buat dirinya untuk menembusi skuad utama pasukan Harimau Selatan itu.

Peminat sudah tentu berharap bakat beliau akan berkembang dengan lebih baik di JDT.

Nik Sharif Haseefy
Dari Pahang ke Selangor

Tidak seperti Nik Akif, nama Nik Sharif tidak begitu dikenali ramai. Namun, bakat beliau sebenarnya sudah diketahui oleh Frank Bernhardt sejak 2016 sehingga pernah memanggil beliau untuk menjalani latihan dan beraksi dalam perlawanan antarabangsa bersama skuad B-23.

Bagaimanapun, beliau mengambil masa beberapa tahun untuk beraksi dengan skuad utama pasukan Pahang apabila membuat penampilan pertama pada June 2019.

Beliau akhirnya menjadi pemain utama pasukan apabila beraksi dengan cukup cemerlang musim lepas apabila menjaringkan 3 gol dalam 10 perlawanan.

Perpindahannya ke Selangor merupakan satu peluang untuk Nik Sharif membuktikan kemampuannya menjadi pemain tengah utama pasukan, memandangkan Selangor sudah lama tidak mempunyai barisan pemain tempatan berkaliber di bahagian tengah yang bertaraf pemain kebangsaan dan hanya memiliki Brendan Gan setakat ini.

Hadin Azman
Dari Kedah ke KL

Musim lepas, Hadin beraksi 10 daripada 11 perlawanan dengan Kedah, 7 dalam kesebelasan utama dan 3 sebagai pemain gantian.

Beliau beraksi dengan baik tetapi tidak cemerlang seperti ketika beliau di Felda United. Namun, perpindahannya ke pasukan Kuala Lumpur yang baru sahaja naik ke Liga Super adalah mengejutkan terutamanya untuk pemain yang pernah beraksi dengan pasukan kebangsaan.

Ia bagaimanapun memberi satu nafas baharu kepada Hadin, malah memberi keyakinan kepada KL untuk kekal dalam Liga Super musim ini.

Shakir Hamzah
Dari Kedah ke Perak

Shakir menunjukkan prestasi cemerlang dengan Kedah dalam musim pertamanya beraksi dalam Liga Malaysia pada musim 2019. Beliau menjaringkan 4 gol, terpilih dalam Liga Super Team of the Season dan membantu memenangi Piala FA.

Musim 2020, beraksi dalam 10 daripada 11 perlawanan liga dan menjaringkan 1 gol.

Ini bermakna, beliau menjadi pemain pertahanan yang digemari oleh Aidil Sharin, juga menjadi salah satu faktor mengapa Kedah berjaya menamatkan saingan di tempat kedua musim lalu.

Satu kehilangan besar buat Kedah.

Kini, beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Anthony Golec di Perak dan dijangka menjadi pemain utama pasukan pada musim ini.

Mohamadou Sumareh
Dari Police Tero ke JDT

Perpindahan Sumareh ke JDT adalah perpindahan yang dinanti-dinantikan sejak tahun lepas lagi. Malangnya, ia terpalit dengan kontroversi sejak Sumareh meninggalkan Pahang dengan mengejut pada bulan Ogos tahun lalu, sebelum Liga Malaysia dibenarkan bersambung hujung bulan itu.

Beliau menyertai Police Tero pada Sept 2020, namun khabar angin sudah bertiup kencang ketika itu yang mengatakan Thailand hanyalah persinggahan sementara sebelum beliau menyertai JDT bagi saingan musim 2021.

Perkara itu akhirnya menjadi kenyataan apabila JDT membuat pengumuman rasmi pada 9 Feb lalu.

Namun disebalik kontroversi perpindahan itu, Sumareh bakal menguatkan lagi bahagian sayap JDT yang sudah pun dibarisi beberapa pemain berkualiti seperti Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera, Akhyar Rashid dan Ramadhan Saifullah.

Dominique Da Sylva
Dari Terengganu ke KL

Ketibaan Dominique di Terengganu memukau peminat bola sepak Malaysia apabila menjaringkan 9 gol dalam 11 perlawanan liga pada musim lalu.

Malah, beliau menjaringkan 4 gol ketika menewaskan pencabar terdekat Kedah 4-3.

Kini, Kuala Lumpur pasti mengharapkan sentuhannya untuk membantu kekal berada dalam Liga Super musim depan.

Azri Ghani
Dari Kedah ke Perak

Azri merupakan salah seorang penjaga gol berbakat dalam generasi baharu bola sepak Malaysia. Baru berusia 21 tahun, beliau berasal dari Kota Bharu, Kelantan memulakan kariernya dalam Liga Malaysia di Felda United.

Beliau menyertai Kedah pada musim 2020, namun terpaksa tunggu lama untuk membuat penampilan pertama apabila diturunkan dalam tiga perlawanan terakhir liga pada musim lalu.

Hasilnya, beliau menunjukkan prestasi memberangsangkan dan mendapat pujian daripada Aidil Sharin, namun disebabkan terpaksa bersaing dengan dua penjaga gol lagi iaitu Shahril Saari dan Ifwat Akmal, beliau membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan.

Kini di Perak, beliau dijangka berdepan saingan daripada Hafizul Hakim dan Nasrullah Aziz.

Safiq Rahim
Dari Melaka ke JDT

Selepas dua musim di Melaka, tidak disangka-sangka beliau akhirnya kembali ke JDT.

Walaupun beliau tidak lagi beraksi dengan skuad kebangsaan, Safiq masih lagi dianggap antara pemain tengah paling hebat dalam sejarah bola sepak Malaysia dan berada pada kemuncak prestasi sepanjang bersama JDT.

Setelah memenangi pelbagai trofi bersama JDT sebelum ini, pengalamannya amat ditagih untuk mempertahankan gelaran juara Liga Super, Piala Malaysia dan bersaing dalam AFC Champions League musim ini.