Liga Super Malaysia Berita

Azmeer Yusof: Saya belum mahu bersara

Azmeer Yusof menjelaskan kekeliruan di sebalik pengumuman bahawa beliau akan meninggalkan Kedah pada musim ini.

Pemain pertahanan kiri berusia 30 tahun itu berkata, beliau sebenarnya hanya membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak baharu untuk musim akan datang dan perkara itu dimaklumkan kepada pihak pengurusan.

“Apa yang saya maksudkan dengan berundur itu adalah saya tidak menyambung kontrak yang sepatutnya tamat pada 30 November ini,” katanya kepada Sinar Harian.

“Pihak pengurusan KFA terima dengan baik. Buat masa ini, saya mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan yang saya ceburi termasuk membina sebuah Pusat Pengajian Islam di Alor Setar.

“Disebabkan itu saya perlu berjumpa dengan ramai orang khususnya mereka yang lebih arif dalam soal ini. Jadi saya buat keputusan untuk berehat sekejap daripada bola sepak supaya saya boleh selesaikan urusan pembinaan Pusat Pengajian Islam itu.”

Pada masa sama, Azmeer berkata pihak pengurusan berjanji akan membayar tunggakan gaji sebelum 30 Jun ini.

“Diharapkan KFA dapat memenuhi janji membuat pembayaran sehingga gaji bulan Mei. Saya bukannya menuntut sepenuhnya, sebab saya faham KFA tengah susah.

“Tapi tuntutan saya itu berbeza sikit kerana saya minta lebih rendah. Inilah caranya saya dapat tolong KFA. Saya harap KFA juga dapat beri kerjasama menjelaskan pembayaran sehingga Mei.”