Malaysia Berita

Selain Wan Kuzri, FAM pantau pemain lain untuk serap masuk skuad B-19

Pengurus pasukan B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar memberi bayangan bahawa FAM sedang memantau beberapa pemain lain selain daripada Wan Kuzri Wan Kamal.

Beliau berkata, pemain-pemain ini akan memperkuatkan skuad B-19 negara menjelang Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober ini.

“Saya diberi taklimat bahawa selain daripada pemain sedia ada, kami sedang memantau secara dekat satu atau dua lagi pemain yang akan diserap dalam skuad,” katanya kepada Harian Metro.

Ada segelintir penyokong yang meragui status Wan Kuzri, berikutan kegagalan Wan Kuzain menyertai skuad Sukan SEA tahun lepas, namun Kamarul Ariffin mengesahkan pemain yang lahir di Amerika Syarikat itu layak mewakili negara.

“Kami jangkakan tiada masalah kerana kedua orang tuanya warga Malaysia dan dia masih di bawah 21 tahun. Kami sedang berhubung rapat dengannya untuk langkah seterusnya jika kami boleh memulakan sesi latihan.”

Malaysia B-19 diundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Yaman dan Tajikistan.