Malaysia Berita

Firdaus Maasar: Pemain muda Malaysia perlu bercita-cita tinggi

Sebenarnya ramai pemain muda Malaysia yang layak beraksi di Eropah, kata saintis sukan Akademi Aspire di Qatar, Mohd Firdaus Maasar.

Ini selepas Luqman Hakim Shamsudin bakal menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk tidak lama lagi.

“Selain Luqman Hakim, kita juga memiliki ramai lagi pemain muda tempatan seperti Safawi Rasid dan beberapa lagi pemain muda lain yang sudah membuktikan kewibawaan masing-masing di Liga Malaysia dan skuad kebangsaan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Cumanya kini mereka perlu menyahut cabaran baharu. Apabila beraksi di saingan liga domestik dan sering menjadi pilihan utama membarisi kesebelasan utama pasukan, ia sudah tentu membataskan tahap perkembangan daya saing seseorang pemain itu.

“Apabila mendapat peluang beraksi dengan kelab luar negara, suka atau tidak perlu kembali bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana kelab luar meletakan kemampuan berdaya saing pemain sebagai merit yang secara tidak langsung dapat meningkatkan prestasi pemain.

“Biarpun terdapat beberapa sekatan beraksi di liga utama Eropah, namun kena ingat peluang beraksi di liga luar negara ini khasnya di rantau Asia tetap ada.”

Firdaus yang pernah berkhidmat dengan kelab Premier League, Liverpool bagaimanapun berpandangan segala-galanya terpulang kepada pemain negara dan mereka perlu memasang cita-cita yang tinggi walaupun terpaksa menerima hakikat bahawa bukan mudah untuk beraksi di Eropah.

“Di Eropah, kritikan dari jurulatih dan rakan sepasukan agak keras dan kasar. Tidak ada teguran untuk menjaga hati atau sopan santun. Ini antara faktor yang membentuk karakter dan jiwa kental seseorang pemain.

“Apa yang penting, pemain harus menerima kritikan dan teguran dari sudut positif, dan kekal berdaya saing.”