Liga Premier Malaysia Berita

Bruno Lopes tuntut KAFA bayar tunggakan gaji lebih RM100,000

Ketika KAFA sedang berunding dengan Cassio mengenai tunggakan gaji pemain itu, seorang lagi bekas pemain import Kelantan FA, Bruno Lopes tampil membuat tuntutan yang sama.

Penyerang Brazil itu menyertai pasukan Pantai Timur itu pada Disember 2017 namun dilepaskan pada April 2018 selepas hanya menjaringkan satu gol.

Namun begitu, KAFA sehingga kini masih belum menyelesaikan tunggakan gaji Bruno yang bernilai RM141,103.60.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman bahawa pihaknya mendapat tuntutan rasmi daripada Cassio dan Bruno.

Beliau juga mengakui terdapat beberapa tunggakan gaji pemain import yang masih belum diselesaikan dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM2 juta.

“KAFA memang berdepan dengan sekurang-kurangnya enam kes FIFA kerana seperti sedia maklum semua bekas pemain import terbabit mahu membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Arena Metro.

“Sekarang ini apa yang boleh kita lakukan hanya menunggu tuntutan daripada semua pemain terbabit yang dikenal pasti berjumlah hampir RM2 juta.

“Jika gagal membuat pembayaran, Kelantan berhadapan dengan situasi lebih bahaya dengan kedudukan kewangan semakin meruncing kemungkinan sukar untuk menyelesaikan pembayaran terbabit.”