Liga Super Malaysia Berita

Kedah FA ada hutang yang lebih banyak?

Kedah FA didakwa mempunyai beban hutang yang lebih banyak daripada yang disangkakan selama ini.

Sinar Harian melaporkan pasukan Liga Super itu yang masih gagal melunaskan tunggakan gaji RM1.5 juta juga masih belum membayar gaji bulan April dan Mei.

Akhbar tempatan itu juga melaporkan masalah hutang tersebut berpunca daripada kepimpinan terdahulu yang diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Beliau tidak sepatutnya lepas tangan kepada pimpinan kerajaan yang baharu atau membiarkan kedudukan bola sepak Kedah dalam keadaan tidak tentu arah. Jangan sampai pasukan Lang Merah tidak dapat main liga,” lapor akhbar itu.

Sehingga kini, belum ada sebarang mesyuarat atau kongres khas membabitkan semua ahli gabungan untuk melantik presiden atau kepimpinan baharu KFA.

Laporan itu bagaimanapun gagal menyatakan jumlah hutang yang ditanggung oleh pihak pengurusan, sebagai bukti sama ada Kedah FA benar-benar berhutang lebih daripada yang disangkakan.

Jika tidak, ia sekadar satu dakwaan bermotifkan dorongan politik semata-mata.