Liga Super Malaysia Berita

JDT cari pemain import Thailand?

Walaupun Liga Malaysia masih ditangguhkan, itu tidak menghalang JDT untuk menandatangani pemain baharu bagi musim depan.

Nampaknya terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa juara bertahan Liga Super sedang memantau pemain skuad kebangsaan Thailand.

Menurut All Things Thai Football, sebuah kelab besar Thailand yang berpangkalan di Bangkok dilaporkan berminat untuk menandatangani penyerang JDT, Diogo Luis Santo.

Laporan itu juga menyebut JDT mungkin berminat untuk membuat pertukaran antara dua pemain.

Potensi untuk JDT menandatangani pemain import baharu pada musim depan adalah tinggi kerana semua pemain import sedia ada sudah melangkau usia 30 tahun.

Diogo merupakan import JDT paling tua dan akan berusia 33 tahun pada bulan ini manakala Hariss Harun akan berusia 30 tahun pada bulan November.

Namun, usia pemain biasanya tidaklah menjadi isu utama selagi pemain itu boleh beraksi pada tahap terbaik.

Luciano Figueroa sendiri pernah beraksi dengan JDT sehingga usianya 35 tahun dan kemudian bermain sekali lagi di usia 37 tahun.

Jadi tidak hairan jika beberapa pemain import JDT beraksi untuk beberapa tahun lagi.

Akan tetapi, jika JDT berancang untuk melangkah lebih jauh dalam saingan AFC Champions League, perubahan mungkin perlu dilakukan.