Liga Premier Malaysia Berita

FAM: Kelantan sudah terlambat untuk buat rayuan

Situasi Kelantan semakin parah apabila FAM mendedahkan pasukan Pantai Timur itu sudah terlambat untuk membuat rayuan kepada FIFA berhubung kes tunggakan gaji bekas pemain import, Casio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata Kelantan tiada pilihan selain daripada menjelaskan tunggakan itu selewat-lewatnya hujung bulan ini atau berdepan hukuman lebih berat.

“Setahu saya memang tak boleh lagi nak buat rayuan atau permohonan untuk meringankan kerana jumlah pembayaran dekat setengah juta adalah tunggakan gaji bekas pemain berserta faedahnya,” katanya kepada Arena Metro.

“Ini adalah keputusan FIFA dan bukannya daripada FAM. Bekas pemain mereka sudah mengemukakan afidavit dan KAFA perlu jelaskan segera tunggakan berkenaan.”

Cassio beraksi selama dua musim dengan Kelantan pada 2018 dan 2019 sebelum menyertai kelab Indonesia, Barito Putra.

Tambah Stuart, Kelantan kini dilarang menandatangani pemain baharu selama dua musim dan hanya dibenarkan menyenaraikan pemain sedia ada ataupun pemain Piala Presiden.