Liga Super Malaysia Berita

Safawi Rasid bernilai RM8 juta

Pengarah Urusan Offside Sports, Abdul Halim Abdul Shukor yang bertanggungjawab dengan perpindahan Norshahrul Idlan Talaha ke Liga Thailand mendedahkan bahawa Safawi Rasid bernilai sebanyak $AS2 juta atau RM8 juta.

Itu anggaran kasar ejen berdaftar itu kerana Safawi beraksi dengan juara bertahan Liga Super, JDT, pernah beraksi di AFC Champions League dan mewakili skuad kebangsaan.

Bagaimanapun Halim menganggap nilai pemain tersebut boleh meningkat mengikut kehendak JDT.

“Sebenarnya nilai Safawi di atas tangan JDT sepenuhnya,” katanya kepada Arena Metro.

“Selaku ejen, saya melihat nilai Safawi dalam lingkungan $AS2 juta yang saya kira sangat mahal bagi seorang pemain yang beraksi di Liga Malaysia.”

Halim juga menyebut bahawa Safawi boleh memulakan karier luar negaranya di Liga Jepun sebelum berpeluang beraksi di Eropah.

“Sebaik-baiknya mula di Liga Jepun kerana kebanyakan scouting berada di negara itu sebelum di bawa ke Eropah. Lagipun, Liga Jepun menjalinkan kerjasama dengan kelab Jerman dan sebab itu kita lihat ramai pemain Jepun beraksi di Bundesliga.

“Selama tempoh di Jepun, Safawi boleh mula menyesuaikan diri dengan cuaca, persekitaran profesional dan tahap persaingan liga yang mirip dengan liga Eropah seperti Jerman, Austria dan Sepanyol.”

Ejen di I One Sports Agency Sdn Bhd, Syed Qamarul Firdaus pula mengakui nilai yang perlu dibayar kepada Safawi adalah antara RM6 juta hingga RM8 juta.

“Saya setuju dengan pandangan Jamie Redknapp dan sekarang terpulang kepada Safawi dan paling utama kelabnya. Isunya adakah kelabnya bersedia untuk melepaskan pemain utama mereka.

“Apapun, sekarang adalah masa paling sesuai untuk dia pergi jauh sebelum umurnya meningkat yang mungkin tiada peluang lagi selepas ini.”