Malaysia Berita

FAM jelaskan mengapa Liridon Krasniqi boleh didaftarkan

Pengurus pasukan negara, Datuk Yusoff Mahadi mendedahkan bahawa pemain naturalisasi baharu Malaysia, Liridon Krasniqi boleh didaftarkan untuk skuad kebangsaan bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 adalah kerana setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan skuad baharu.

Katanya, FAM membetulkan kenyataannya sebelum ini yang mengatakan Liridon hanya boleh didaftarkan pada perlawanan menentang Thailand pada Jun ini.

Sebaliknya FAM sebenarnya boleh mendaftarkan Liridon, memandangkan pihak lawan Malaysia pada 26 Mac ini iaitu UAE dilihat berusaha untuk membawa masuk tiga pemain naturalisasi iaitu Fabio Lima, Sebastian Tagliabue dan Caio Canedo Correa.

“Kita nampak UAE sedang berusaha untuk mendaftar tiga pemain naturalisasi. Kemudian kami pun mendapat tahu pemain baharu boleh didaftarkan untuk skuad kebangsaan sehingga 20 Mac nanti, sebab itu kami juga berusaha untuk mendaftarkan Liridon,” katanya.

Pada masa sama, Yusoff enggan mengulas lanjut mengenai kritikan beberapa pihak mengenai status warganegara yang diberikan kepada Liridon.

Liridon hanya akan melengkapkan tempoh mastautin di Malaysia selama lima tahun seperti yang ditetapkan oleh FIFA pada 25 Mac, sehari sebelum perlawanan bertemu UAE.