Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Brendan Gan pamer contoh terbaik

Pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan mencuri perhatian para peminat bola sepak tempatan dengan menampilkan aksi luar biasa pada pertemuan menentang Thailand malam tadi.

Bagaikan memiliki empat paru-paru dan tidak mengenal erti penat, persembahan Brendan malam semalam hampir membuat semua terpukau. Satu jaringan dan satu bantuan gol dihasilkan pemain ini melayakkan dirinya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Pengendali pasukan Malaysia, Tan Cheng Hoe turut melemparkan pujian keatas pemain tengah Perak yang ternyata membantu pasukan dengan menggunakan pengalaman yang ada.

‘Dari hari pertama latihan, dia (Brendan) menunjukkan perwatakan yang baik. Mungkin atas kelahiran bayi lelaki barunya, itu menjadi semangat buat dirinya’, tegasnya lagi.

Tan Cheng Hoe menjelaskan perjalanan Brendan Gan sebagai pemain bola sepak profesional tidak semudah yang disangka kerana dia pernah mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di bahagian lutut dan menjalani dua pembedahan. Namun, atas kesungguhan dan kegigihan yang ditunjukkan, dia mampu bermain dengan cemerlang pada malam ini.

Pada perlawanan sebelum ini, pemain kelahiran Australia ini juga mencuri tumpuan dengan menyumbang satu bantuan gol ketika membantu Malaysia menewaskan Tajikistan 1-0 pada perlawanan Antarabangsa Tier 1 hujung minggu lepas.