Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe kagum semangat luar biasa pemain

Malaysia berjaya menundukkan Thailand 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi kumpulan G. Gol jaringan Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh memadam jaringan awal Chanatip Songkrasin.

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe begitu gembira dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya. Beliau turut menyifatkan kemenangan malam tadi antara perlawanan terbaik mereka sepanjang tahun ini.

‘Ia bukan mudah kerana kita tahu Thailand membawa barisan pemain terkuat. Paling penting adalah semangat juang pemain dan never die attitude yang ditunjukkan dalam perlawanan’, katanya lagi.

Walaupun berada dalam kegembiraan, Cheng Hoe juga mengingatkan setiap pemain untuk konsisten dalam perlawanan seterusnya. Ini kerana perjalanan bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 masih jauh. ‘Saya gembira dengan keputusan ini kerana kita memperoleh tiga mata penting. Namun kita baru mengharungi separuh perjalanan dan ada berbaki empat perlawanan lagi. Kemenangan ini dianggap sebagai satu motivasi untuk perlawanan akan datang’, ujarnya lagi.

Beliau berkata, selepas ketinggalan satu gol, ianya agak sukar. Namun, jaringan Brendan Gan menjadi titik tolak kepada pasukan dan ianya mengubah permainan pada separuh masa kedua. 

Cheng Hoe membuat beberapa pertukaran pemain dalam kesebelasan utama dengan menggunakan khidmat Khairul Azhan, Syahmi Safari, dan Syamer Kutty. Pertukaran tersebut dilihat lebih kepada perbezaan taktikal yang diterapkan bagi menjerat pasukan lawan.

Malaysia kini berkongsi enam mata bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kumpulan G selepas mengharungi empat perlawanan dan misi mengutip tiga mata penuh akan bersambung pada Selasa depan menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil.