Kolum Eropah

Ada apa dengan pembalut tangan Benzema?

Karim Benzema telah membuktikan bahawa dia mampu menyinar tanpa bantuan Cristiano Ronaldo pada musim ini. Sepanjang sembilan perlawanan setakat ini, Benzema telah menyumbang enam jaringan buat Real Madrid. 

Disebalik persembahan cemerlang tersebut, pasti ramai yang tertanya-tanya akan sebab utama balutan di tangan kanan Benzema. Jika sebelum ini kita dapat melihat beberapa pemain yang terkenal dengan balutan di tangan seperti Luis Suarez dan Jamie Vardy begitu tajam dihadapan gol.

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Sebenarnya, bekas pemain kebangsaan Perancis ini mengalami kecederaan di jari (tangan kanan) pada Januari lepas. Namun begitu, Benzema enggan melakukan pembedahan. Perkara tersebut mendapat sambutan baik pengendali Los Blancos ketika itu, Santiago Solari yang percaya ianya tidak akan mengganggu fokus pemain itu diatas padang.

Walaupun terpaksa bermain dengan balutan tebal di tangan kanan, Benzema tetap konsisten memberikan hasil yang terbaik. Malah, pengendali baru, Zinedine Zidane turut memujinya serta berkata Benzema menjaringkan gol yang lebih banyak daripada sebelum ini.

Hasilnya, Benzema telah merobek gol pasukan lawan sebanyak 21 kali dalam saingan liga sepanjang Januari hingga September 2019. Hanya empat pemain yang mampu melakukan perkara yang sama termasuklah Lionel Messi, Robert Lewandowski, Sergio Aguero, dan Kylian Mbappe.

(Photo by Lukas Schulze – UEFA/UEFA via Getty Images)

Dalam pada itu, Benzema telah dinobatkan sebagai penjaring kedua terbanyak La Liga pada musim lepas, berkongsi jumlah jaringan bersama Luis Suarez. Pada masa sama, kedua-dua pemain beraksi dengan tangan berbalut. Adakah ini kebetulan atau kedua-dua pemain ini mempunyai kepercayaan yang sama terhadap balutan di tangan?