Kolum Eropah

Norwich City kembali ke fitrah

Pendatang baru Liga Perdana Inggeris, Norwich City kini menghuni tangga kedua tercorot liga selepas mengharungi lapan perlawanan. Pada sabtu lepas, anak buah Daniel Farke diratah Aston Villa 5-1 di halaman sendiri.

Pada bulan lepas, Norwich mencuri tumpuan setelah berjaya menumpaskan penyandang juara liga, Manchester City 3-2. Kemenangan itu seolah-olah menandakan kebangkitan pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke Liga Perdana Inggeris. Corak permainan terbuka yang dipamerkan ketika menentang Liverpool dan Chelsea juga membuka mata pasukan lawan yang lain untuk lebih berjaga-jaga ketika menentang Norwich.

Namun, ianya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Rekod perlawanan Norwich menunjukkan mereka hanya menang dua kali dan selebihnya tewas tanpa mencatat sebarang keputusan seri setakat ini. 

Lebih menyedihkan apabila mereka terkandas pada pusingan kedua Piala Carabao ditangan Crawley Town. Ibarat jatuh ditimpa tangga, Norwich hanya mampu memperoleh satu gol dan mencatat sembilan gol bolos dalam tiga perlawanan terakhir sebelum ini. 

(Photo by Lars Ronbog / FrontZoneSport via Getty Images)

Sentuhan pemain antarabangsa Finland, Teemu Pukki ternyata dirindui terutama dikalangan para penyokong skuad The Canaries. Kekalahan besar pada hujung minggu lalu amat memalukan dan tidak boleh diterima. Kedua-dua pasukan memegang status yang sama iaitu pasukan baru yang dinaikkan pangkat. Tetapi jelas sekali ketajaman serangan Aston Villa begitu ketara sehingga mampu mencipta jaringan yang besar.

Faktor kecederaan pemain utama seperti Tim Krul, Grant Hanley, dan Ralf Fahrmann ternyata merencatkan strategi yang telah dirangka Daniel Farke. Disebalik kecederaan pemain utama, aksi cemerlang penjaga gol kedua, Michael McGovern yang menafikan tujuh daripada 12 percubaan tepat pasukan lawan termasuklah menyelamatkan sepakan penalti yang diambil oleh penyerang Aston Villa, Wesley perlu diberi pujian.

Norwich bakal bertemu Bournemouth pada perlawanan seterusnya selepas berakhir saingan antarabangsa minggu hadapan. Kemenangan semestinya menjadi keutamaan bagi menghidupkan kembali peluang untuk terus bernyawa di dalam kancah Liga Perdana Inggeris.