Kolum Eropah

Akhirnya Inter tumbang

Skuad kendalian Antonio Conte akhirnya rebah dalam saingan Liga Serie A selepas ditewaskan Juventus 2-1 pada awal pagi tadi.

Perlawanan seimbang yang ditampilkan kedua-dua pasukan sambil serangan bertali arus turut sama dilancarkan menggamit suasana meriah di Stadium San Siro. Gol awal Paulo Dybala memberikan pendahuluan buat skuad bimbingan Maurizio Sarri. Pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Lautaro Martinez selepas bola terkena tangan Matthijs de Ligt. 

fourfourtwo

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan gol kedua hasil gerakan cantik yang dipamerkan namun ianya tidak dikira kerana ofsaid. Gonzalo Higuain menjadi wira Juventus dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80. Kemenangan ini sekaligus meletakkan Juventus sebagai pendahulu liga yang baru dengan mengumpul 19 mata, satu mata dihadapan Inter Milan.

Bagi Inter Milan, kekalahan kedua berturut-turut ini selepas turut tewas 2-1 keatas Barcelona dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah awal minggu lalu agak mengecewakan. Secara keseluruhan, Inter Milan menampilkan persembahan bertenaga tetapi kecemerlangan penjaga gawang lawan, Wojciech Szczęsny menjadi tembok penghalang buat mereka menghasilkan gol.

Turun menentang pesaing kejuaraan liga yang dibarisi ramai pemain bintang, Inter Milan sedikit tempang tanpa tonggak utama, Alexis Sanchez yang menghadapi hukuman penggantungan berikutan kad merah yang dilayangkan pada perlawanan liga sebelum ini. 

Anak buah Conte ini pasti dahagakan kemenangan dan ingin kembali bangkit pada perlawanan akan datang. Berdasarkan jadual, Inter akan bertemu Sassuolo dan melayan kunjungan Borussia Dortmund selepas selesai saingan antarabangsa.