Kolum

Apa yang perlu dilakukan oleh Harry Maguire jika mahu berjaya di Manchester United?

Harry Maguire, pemain dengan bakat besar yang telah menunjukkan kemampuan beliau di Liga Perdana Inggeris. Beliau telah menunjukkan kemampuannya ketika bersama Leicester City dan menunjukkan kenapa beliau adalah salah seorang pertahanan yang sukar untuk ditembusi biarpun penyerang tersebut berstatus bintang terbaik.

Selepas beberapa musim di Leicester City, Maguire telah menangkap minat beberapa kelab besar dunia yang mahu menggunakan khidmatnya. Lalu hadir Manchester United, pada jendela perpindahan musim panas yang lalu menawarkan gaji yang besar dengan rekod perpindahan dunia bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun tersebut.

Sejak diikat oleh Red Devils, ramai telah membandingkan beliau dengan pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk. Ramai yang mengatakan bahawa Maguire adalah kunci kepada masalah pertahanan United seperti mana Van Dijk adalah kunci kepada masalah pertahanan Liverpool. Tetapi tidak seperti Van Dijk, Maguire masih gagal memberikan apa yang peminat United harapkan dan apa yang pengkritik bola sepak mahukan.

Berikut adalah beberapa masalah yang perlu ditangani oleh pertahanan termahal Eropah.

Tanda harga yang tinggi

Ini adalah antara babak yang penting untuk dijaga dan memerlukan fokus yang tinggi dari Harry Maguire.

Bolasepak yang moden telah menjadikan pemain-pemain dengan bakat yang luar biasa hadir dengan tanda harga yang luar biasa. Kebanyakkan daripada pemain yang hadir ke kelab besar bakal diikuti oleh tanda harga yang besar.

Sejarah sebelum ini telah mencatatkan bagaimana Alexis Sanchez hadir ke United dengan tanda harga yang tinggi tetapi gagal menyerlah sepanjang berkhidmat di Manchester United. Sanchez sebelum ini diangkat sebagai antara penyerang terbaik dunia ketika menampilkan aksi yang cemerlang buat Barcelona dan Arsenal tetapi hilang dari radar bola sepak sejak membuat perpindahan masuk ke United – ada yang mengatakan beliau masih terbuai dengan alunan piano.

Manchester United tidak boleh membiarkan kejadian yang sama berlaku terhadap Harry Maguire dan apa yang Ole Gunnar Solksjaer boleh lakukan adalah dengan meletakkan kembali fokus beliau terhadap bola sepak dan bukannya tanda harga.

Henti bandingkan Maguire dan Van Dijk

Virgil Van Dijk telah menjadi antara bintang utama di Liverpool. Kemampuan beliau dalam bertahan telah berjaya meletakkan Liverpool sebagai antara kelab terbaik eropah. Ianya telah dibuktikan dengan kemenangan di pentas Liga Juara-Juara musim lalu dan menamatkan musim 2018/19 ditempat kedua dengan perbezaan satu mata dengan Manchester City.

Bagi Maguire, untuk tampil dengan permainan terbaiknya, beliau perlu menutup telinga dengan segala cakap-cakap yang membandingkan beliau dengan Van Dijk. Beliau perlu keluar dan tunjukkan apa yang beliau mampu lakukan.

Kerana hanya ada satu jalan untuk menutup mulut pengkritik iaitu dengan mempersembahkan permainan terbaik.