Luar Negara Berita

Indonesia guna enam pemain naturalisasi

Indonesia bakal turun dengan enam pemain naturalisasi selepas Simon McMenemy mengumumkan senarai pemain beliau pada 24 Ogos yang lalu.

Tan Cheng Hoe sedar dengan situasi ini dan disebabkan itu skuad negara bakal bermain bertemu Jordan pada Jumaat ini di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menguji barisan negara sebelum Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Perlawanan ini bagi membantu skuad negara mencari keserasian dan juga memupuk persefahaman di antara mereka kerana Indonesia bakal menjadi lawan mereka pada aksi Kelayakan Piala Dunia di Jakarta pada 5 September ini.

Bagi Tan Cheng Hoe, biarpun perlawanan berhadapan skuad Garuda nampak seimbang, tetapi dengan beberapa penambahbaikan yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PPSI) harus di ambil serius.

Terdapat enam pemain naturalisasi yang bakal beraksi bersama skuad Indonesia.

Dari enam pemain naturalisasi tersebut, hanya seorang yang masih berusia di bawah 30 tahun – Stefano Lilipaly, 29 tahun.

Lain-lain pemain naturalisasi yang dipanggil oleh Indonesia semuanya berumur 30 tahun ke atas, malah lebih mengejutkan apabila pengendali skuad Indonesia, Simon McMenemy memanggil pemain paling veteran Alberto Goncalves yang sudah menjangkau 38 tahun.

Empat pemain naturalisasi lain adalah Otavio Dutra (34 tahun), Victor Igbonefo (33 tahun), Greg Nwokolo (33 tahun), dan Osas Saha (32 tahun).

Pemain naturalisasi negara

Barisan utama pemain tengah negara, Mohamadou Sumareh berada di dalam pemantauan pengendali negara, Tan Cheng Hoe susulan pemain itu dilaporkan masih belum cergas.

Beliau sebelum ini menghadapi kecederaan pangkal paha semasa bersama skuad Pahang dan tidak diturunkan ketika skuad Tok Gajah bertemu dengan Sabah.

Justeru, Cheng Hoe berharap agar beliau mampu pulih sepenuhnya sebelum perlawanan menentang Indonesia.

“Saya harap dia dapat pulih dalam masa terdekat kerana kita tahu Sumareh mampu memberi impak kepada pasukan,” katanya kepada BH Sukan.