Liga Super Malaysia Berita

Felda United mampu kejutkan Tok Gajah yang nyenyak tidur

Lima perlawanan terakhir Felda United dalam kancah Liga Super musim ini diakhiri dengan kekalahan dan keputusan seri manakala lawan mereka Pahang hanya menang sekali dalam lima pertembungan terakhir Liga Super, iaitu bertemu PKNS FC pada 14 April.

Felda di lihat bukanlah lawan bagi Pahang, tetapi melalui rekod lima perlawanan terakhir kedua-dua pasukan. Pahang dan Felda seperti mempunyai persamaan, cuma yang membezakan mereka berdua adalah Pahang berada di tangga kedua Liga Super dan Felda terperosok jauh ke bawah di tangga ke-12.

Pahang dilihat mempunyai penyakit yang sama, satu penyakit yang seri melanda pasukan Liga Super, iaitu penyakit tidak konsisten.

Tok Gajah bermula baik pada musim ini apabila mencatat beberapa siri kemenangan penting dan dilihat sebagai antara pencabar buat musim ini, tetapi semuanya dilihat kian pudar bermula daripada kekalahan mengejut dengan Terengganu FC pada kancah Piala FA sebelum bangkit pada perlawanan kedua dan tewas tipis di tangan PJ City pada 4 May lalu.

Manakala Felda pula telah mengalami tujuh kekalahan, enam keputusan seri dan hanya mencatat satu kemenangan. Jika mereka gagal bangkit dari tidur, sudah semestinya Felda akan kembali bermain di kancah Liga Perdana musim hadapan.

Jika dilihat daripada segi rekod, Pahang semestinya jauh mendahului, tetapi dalam lima perlawanan terakhir kedua-dua pasukan dilihat mempunyai persamaan dan ini adalah medan yang baik buat Felda untuk mencatat kemenangan.

Dengan kehadiran Hadin Azman yang telah kembali setelah mengalami kecederaan lutut, Felda semestinya mendapat suntikan semangat yang lebih.

“Saya bersyukur selepas sebulan tidak beraksi dan diberi peluang bermain selama 40 minit bertemu TFC, saya rasa yakin untuk kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama.

“Ini kerana kami amat memerlukan mata untuk tidak terlalu jauh ketinggalan dengan pasukan seperti PKNS FC dan PKNP FC yang berada di kedudukan ke-10 dan 11 liga.

“Namun, terpulang kepada percaturan jurulatih (Mohd Nidzam Jamil) kerana saya baru saja kembali dalam pasukan,” kata Hadin, kapten Felda United.

Beliau turut menjelaskan bahawa aksi tidak konsisten skuad Tok Gajah sejak beberapa perlawanan ini tidak boleh dijadikan ukuran.

“Jentera serangan juga diberi perhatian untuk merobek gawang Pahang. Kembalinya Khairul Amri yang baru pulih daripada kecederaan bahu kiri juga diyakini dapat membantu menajamkan jentera hadapan pasukan,” katanya.