Terengganu FC (TFC) dalam misi mencatat kemenangan setelah gagal berbuat demikian dalam tiga perlawanan Liga Super sebelum ini sehingga memaksa bekas pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan.
Setelah mengalami beberapa siri persembahan longlai bermula daripada kekalahan dengan Pahang pada saingan suku akhir Piala FA diikuti pula dengan kekalahan mengejut ke atas PJ City yang menyaksikan mereka tewas setelah selesa mendahului dengan 3-0 dan akhir sekali adalah minggu lalu, apabila mereka hanya mencatat keputusan seri dengan Felda.
Perlawanan dengan Selangor di hadapan penyokong sendiri perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para pemain TFC jika mereka mahu bersaing dan menjarakkan diri mereka daripada zon penyingkiran.
Ini juga adalah masa yang terbaik buat TFC membalas dendam kepada Selangor setelah mereka ditewaskan, 1-0 pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Shah Alam pada Mac lalu.
Bagi pemain tengah TFC, Khairul Azrin Khazali berazam mahu turun dan memberi aksi yang cemerlang bagi memberi kemenangan selesa buat pasukan TFC.
“Kami sudah lama tidak menang dalam saingan liga. Akhir sekali pada April lalu ketika menumpaskan Petaling Jaya City FC (PJ City) 2-1, selepas itu kami kempunan untuk mengutip mata penuh.
“Justeru bertemu pasukan negeri kelahiran Jumaat ini, kami tiada pilihan melainkan wajib menang bagi mengembalikan semula keyakinan pasukan dan penyokong setia,” katanya.
Beliau turut mengulas lanjut tentang persembahan pasukan setelah ketua jurulatih ditukar.
“Tidak kisah siapa pun yang menjadi jurulatih, ia tidak memberi masalah buat kami kerana atas padang kita yang bermain dan jurulatih hanya memberi arahan.
“Apa yang penting kami perlu beraksi mengikut taktikal yang diatur jurulatih,” kata Azrin.