Walaupun ramai peminat Malaysia masih gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh skuad U22 dalam kempen Sukan SEA, kita juga perlu tahu bahawa malam ini skuad senior Malaysia bimbingan Nelo Vingada, akan turun beraksi dalam perlawanan persahabatan bertemu Syria di Stadium Hang Jebat Melaka.
Perlawanan persahabatan berstatus A ini akan memberikan impak kepada pungutan mata Malaysia dalam ranking FIFA, seterusnya mempengaruhi mata dalam AFC MA Ranking yang akan menentukan layak atau tidak Malaysia untuk memiliki slot automatik dalam kejohanan AFC Champions League 2019 dan 2020.
Syria kini menghuni ranking 80 FIFA akan turun menentang Malaysia yang berada pada ranking 166.
Berdasarkan pengiraan FIFA, jika kemenangan berpihak kepada Malaysia, kita akan menambah kutipan mata sebanyak 306 mata, manakala jika keputusan perlawanan adalah seri Malaysia akan mengutip 102 mata.
Sebaliknya bagi Syria, jika menang perlawanan pada malam ini, mereka hanya akan mengutip 127.5 mata dan jika berakhir dengan keputusan seri Syria akan membawa pulang 42.5 mata sahaja.
Malaysia Perlukan Kemenangan!
Prestasi pasukan kebangsaan akan menjadi penentu mampu atau tidak untuk kita menyaksikan pasukan kelab dari Liga Super Malaysia beraksi dalam saingan AFC Champions League 2019 dan 2020.
Malaysia kini sedang bersaing rapat dengan Hong Kong dalam AFC MA Ranking, dan berdasarkan kemaskini AFC semasa, perbezaan diantara kedua-dua adalah sebanyak 0.606 mata sahaja.
Sebarang kekalahan pasukan kebangsaan Malaysia dan kemenangan pasukan Hong Kong akan memberikan impak kuat kepada perebutan slot AFC MA Ranking.
Walaupun AFC MA Ranking untuk penentuan slot AFC Champions League 2019 dan 2020 akan dikira berdasarkan kemaskini pada November 2017 nanti, adalah lebih baik untuk terus meraih kemenangan bagi menjarakkan lagi mata AFC MA Ranking berbnding Hong Kong.