Malaysia Berita

Stadium Kosong Jadi Punca Malaysia Tewas Di Tangan Singapura?

Malaysia tewas tipis pada perlawanan pertama Piala Airmarine 2019 di tangan jiran kita, Singapura pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang suram dan hampir kosong.

Stadium yang mampu memuatkan lebih daripada 80,000 nyata suram dan lengang apabila hanya segelintir penyokong yang hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada skuad bola sepak kebangsaan.

Suasana ini nyata berbeza dengan aksi peringkat kumpulan dan aksi akhir Piala AFF tahun lalu dengan hampir setiap kerusi dipenuhi warna kuning hitam.

Dengan ketiadaan bunyi riuh rendah serta nyanyian daripada Ultras Malaya nyata memberi pengalaman yang berbeza, di mana perlawanan yang dijadualkan bermula pada jam 8.45 tetapi masih banyak kerusi yang tidak dipenuhi.

Tidak kertelaluan dikatakan bahawa kempen boikot daripada Ultras Malaya memberi kesan kepada faktor kehadiran penonton dan memberi tamparan hebat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak penganjur ProEvents.

Perasaan suram dan lengang di stadium turut dirasai apabila skuad negara yang turun menentang negara jiran seperti hilang arah pada separuh masa pertama dengan beberapa cubaan awal skuad Singapura hampir merobek gawang skuad negara.

Permainan yang longlai dan tidak bersemangat daripada anak buah Tan Cheng Hoe bermula daripada wisel pertama sehingga wisel penamat dengan beberapa kesalahan mudah yang dilakukan oleh pemain negara.

Berbeza pada beberapa perlawanan yang lepas apabila kehadiran penyokong ke stadium memberi kesan motivasi buat skuad negara untuk beraksi dengan baik dan situasi ini jelas menunjukkan bahawa penyokong dan skuad negara saling memerlukan satu sama lain.

Tetapi Tan Cheng Hoe mempunyai pandangan yang berbeza apabila beliau menyatakan bahawa pemain Malaysia gagal beraksi dengan baik, “Kami membuat permulaan permainan yang perlahan manakala Singapura lebih menunjukkan keazaman tinggi.

“Sudah tentu kami cuba bangkit dalam separuh masa kedua dengan beraksi baik. Namun, satu lagi kesilapan membuatkan kami dibolosi.” Kata beliau pada sidang media selepas perlawanan.

Malaysia bakal bertemu Afghanistan yang tewas 5-0 di tangan Oman bagi penentuan tempat ke tiga, Sabtu ini.