Malaysia Berita

TM sepatutnya menyokong pembangunan bola sepak Malaysia – PBSNT

Ketiadaan Telekom Malaysia (TM) selaku penaja rasmi Liga Malaysia 2019 mencetuskan rasa terkilan kepada pasukan bertanding yang juga pemegang taruh Malaysian Football League (MFL).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, TM sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seharusnya terus membantu kepada perkembangan liga bola sepak tanah air.

“Memang agak terkilan bila mendapat tahu TM sudah tidak bersama MFL lagi sebagai penaja. Sepatutnya TM menyokong kepada pembangunan bola sepak Malaysia.

“TM adalah syarikat GLC yang besar jadi adalah wajar untuk mereka membantu apatah lagi duit penajaan mereka sebelum ini digunakan oleh MFL sebagai geran kepada 24 pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia,” katanya.

Pada 15 Mac lalu, MFL tiada pilihan selain mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama TM selepas menandatangani kontrak pada Januari tahun lalu.

Keputusan itu dicapai menerusi satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah di Hotel Thistle, Johor Bahru susulan TM gagal membuat bayaran penajaan bagi musim 2019.

Di sebalik ketiadaan penaja utama itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam memberi jaminan untuk berusaha mendapatkan penaja baharu bagi membantu semua pasukan yang sebelum ini menerima geran tahunan sebanyak RM3 juta bagi pasukan Liga Super dan RM1 juta Liga Premier.

Farok berkata, beliau meletakkan harapan tinggi kepada MFL yang diterajui oleh pengerusinya Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menyelesaikan masalah itu.

“Bagi pihak kami memang mengharapkan agar MFL dapat membantu pasukan daripada segi geran tahunan apatah lagi Terengganu mempunyai dua pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Premier. Dan saya percaya dengan kemampuan MFL untuk mendapatkan penaja lain,” katanya.