Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Gajah Perang Tumbang Dibaham Harimau Malaya

Malaysia ke final Piala AFF Suzuki 2018 selepas berjaya menewaskan Thailand pada perlawanan penuh dramatik di Stadium Rajamangala, Bangkok hari ini.

Malaysia yang mempunyai rekod yang buruk di Stadium Rajamangala apabila tewas lima perlawanan terakhir dan gagal menjaringkan sebarang gol dilihat seperti sebuah misi sukar untuk menewaskan skuad Gajah Perang.

Tan Cheng Hoe membuat satu pertukaran pada perlawanan bertemu Thailand kali ini dengan memasukkan Nazirul Naim menggantikan Syazwan Andik manakala Thailand kekal dengan kesebelasan utama yang seri ketika separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada awal minit pertama, Harimau Malaya terpalit dengan isu kecederaan apabila terpaksa mengeluarkan pertahanan keras negara, Aidil Zafuan yang cedera pada minit ke-20 dan digantikan dengan Irfan Zakaria. Kemasukan pemain berumur 23 tahun itu nyata kurang berkesan apabila beliau menjaringkan gol sendiri untuk memberi kedudukan yang selesa buat Thailand pada minit ke-21.

Mujur aksi konsisten Syahmi Safari akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-29 hasil daripada sepakan deras daripada luar kotak penalti.

Pada separuh masa kedua, Malaysia sekali lagi dihukum apabila Irfan Zakaria gagal membaca pergerakan Adisak Kraison dan menghadiahkan sepakan percuma diluar kotak penalti. Sepakan percuma itu berjaya membawa Thailand kembali ke depan apabila keadaan yang kucar kacir dihadapan gawang gol digunakan oleh Hemviboon untuk menanduk masuk pada minit ke-60. 

Harimau Malaya yang tidak mengalah kembali menyerang ke kubu Thailand. Anak buah Tan Cheng Hoe berjaya menyamakan kedudukan apabila umpanan lerek Syamer Kutty berjaya mencari Norshahrul Idlan Talaha yang tidak dikawal didalam kotak penalti Thailand bagi jaringan pada minit ke-71. Ia adalah jaringan peribadi ke lima beliau sepanjang kempen ini berlangsung.

Drama dua seteru ASEAN ini tidak berhenti disitu apabila pada minit-minit akhir perlawanan Malaysia dikejutkan apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat Thailand selepas bola terkena tangan Syahmi Safari dan beliau dilayangkan kad merah.

Adisak Kraison yang menjaringkan lapan gol sepanjang kempen ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti gagal untuk menyempurnakannya apabila bola jauh terbang ke atas.

Malaysia bakal bermain di pentas final Piala AFF Suzuki 2018 dan lawan Harimau Malaya hanya akan diketahui esok apabila Vietnam dan Filipina bakal bertemu di Hanoi.