Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Malaysia Layak Untuk Menang – Milovan Rajevac

Pengendali Thailand, Milovan Rajevac mengakui bahawa pasukan Harimau Malaya sememangnya layak untuk ke final selepas seri 2-2 ke atas Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok semalam.

Beliau yang tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa mengakui bahawa anak buahnya gagal untuk beraksi dengan baik dan membuat kesalahan yang sama ketika separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Bagi jurulatih daripada Serbia ini, walaupun kekalahan ini pahit untuk ditelan tetapi ianya adalah suatu pengajaran berguna buat beberapa pemain muda.

“Sudah tentu saya tidak puas kerana kami tidak layak untuk beraksi pada perlawanan akhir tetapi ini adalah pengalaman untuk pemain-pemain muda,” kata Rajevac. “Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia. Mereka layak bermain di perlawanan akhir.

“Di dalam kedua-dua perlawanan, pasukan Malaysia menunjukkan lebih banyak keinginan untuk menang dan agresif. Mereka mahu mendapatkan keputusan akhir ini.”

Thailand yang mendapat sepakan penalti pada saat-saat akhir perlawanan pasti mengembalikan memori beliau sewaktu mengurus pasukan Ghana. Pada aksi final Piala Dunia 2010 di Afrika, Ghana dihadiahkan sepakan penalti dan Asamoah Gyan tidak menyia-nyiakan peluang tersebut bagi membawa lawan mereka, Uruguay ke penentuan penalti.

Tetapi lain pula cerita yang berlaku semalam apabila penyerang berpengalaman Thailand, Adisak Kraison yang telah menyumbang lapan gol sepanjang kempen ini berlangsung menyia-nyiakan peluang yang terhidang bagi membawa Thailand ke pentas final.

“Kami mempunyai penalti dan tidak masuk, jadi kami agak kurang bernasib baik pada akhirnya,” kata Rajevac. “Saya terfikir ingin menyuruh pemain yang baru masuk untuk mengambil sepakan penalti tersebut tetapi kami mempunyai persetujuan sebelum perlawanan yang Adisak akan mengambil sepakan itu. Dia kurang bernasib baik apabila dia terlepas sepakan tersebut tetapi sudah tentu dia masih mendapat sokongan kami.”

Thailand yang terkeluar daripada kempen Piala AFF Suzuki 2018 dengan rekod tanpa kalah bakal membuat persediaan bagi menghadapi Piala Asia yang dijadualkan bermula Januari depan.

“Kami perlu secepat mungkin menumpukan pada perlawanan seterusnya, iaitu Piala Asia,” katanya. “Kami akan mempunyai pemain tambahan yang tidak dapat bermain dalam persaingan ini, jadi kami menumpukan perhatian pada kejohanan seterusnya.

“Pemain pasti memerlukan rehat selepas musim yang panjang dan sesetengah pemain yang bermain dalam perlawanan akhir (Liga Thailand) tidak mempunyai rehat sama sekali. Mereka perlu rehatkan diri secara fizikal dan mental sebelum kejohanan terbesar di Asia.”