Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Tan Cheng Hoe Puji Aksi Anak Buah

Pengendali Malaysia, Tan Cheng Hoe memuji para pemain yang berjuang bagi melayakkan diri ke pentas final Piala AFF Suzuki 2018 apabila Malaysia seri 2-2 bertemu Thailand di Bangkok, semalam.

Malaysia yang pernah memenangi Piala AFF Suzuki pada edisi 2010 dibawah kendalian Datuk K.Rajagopal seri dengan Thailand semalam  tetapi melayakkan diri ke pentas final menerusi peraturan gol di tempat lawan. 

Tan Cheng Hoe yang pernah memenangi kejohanan ini selaku pembantu jurulatih kepada Datuk K.Rajagopal mengakui bahawa kesemua pemain beliau mengikut setiap disiplin yang telah diterapkan dan berjaya mengawal kemaraan Thailand.

“Selepas seri 1-1 pada babak pertama, kami perlu kekal tenang dalam permainan, mengekalkan penguasaan bola dan cuba melakukan serangan balas. Kita juga perlu berhati-hati dengan gerakan ‘set piece’ Thailand.

“Pemain mengikut taktikal dengan penuh disiplin pada babak kedua dan ini adalah keputusan yang menakjubkan,” katanya kepada Berita Harian.

Malaysia yang tidak pernah mengalahkan Thailand di Stadium Rajamangala ternyata menghadapi misi sukar apabila Thailand mendahului Harimau Malaya dua kali pada perlawanan tersebut. Terima kasih kepada gol yang dihasilkan oleh Syahmi Safari dan Norshahrul Idlan Talaha.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang hampir pasti menang dengan peraturan gol ditempat lawan tersentak apabila sepakan penalti diberikan oleh pengadil perlawanan selepas bola terkena tangan Syahmi Safari di saat-saat akhir permainan.

Mengulas lanjut mengenai penalti tersebut, Tan Cheng Hoe percaya dengan kemampuan Farizal Marlias untuk membaca sepakan penalti yang di ambil oleh Adisak Kraison.

“Saya masih tenang dan yakin mungkin penjaga gol Farizal Marlias boleh menyelamatkan sepakan penalti itu.

“Kami ada mengkaji video sepakan penalti Adisak dan saya yakin Farizal boleh melakukan sesuatu,” katanya kepada Berita Harian.