Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Safawi Masih Berbisa, Akui Masih Mencari Sentuhan

Pemain Paling Bernilai Liga-M untuk musim 2018, Safawi Rasid mengakui bahawa beliau gembira dengan permainan beliau walaupun belum menjaringkan sebarang gol sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2018.

Pemain berusia 21 tahun ini tetap berpuas hati dengan prestasi permainan beliau dalam membantu pasukan bagi mencapai kemengan.

Safawi Rasid yang bermain sepanjang perlawanan peringkat kumpulan hampir pasti menjaringkan gol pada pertemuan dengan Myanmar tempoh hari, tetapi beberapa kali diselamatkan oleh penjaga gol pihak lawan.

Bagi pemain kelahiran Terengganu ini, walaupun nama beliau masih belum tercatat sebagai salah seorang penjaring, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi permainan beliau dan berharap akan terus konsisten dalam membantu pasukan menjelang pertemuan dengan Thailand nanti.

“Saya cukup berpuas hati dengan prestasi saya setakat ini. Walaupun saya tidak menjaringkan gol, saya tetap membantu pasukan untuk menang,”

“Dalam dua atau tiga perlawanan sebelum ini, kami menerima banyak kritikan (mengenai prestasi pasukan). Tetapi kali ini kami berjaya kerana saya dapat melihat bahawa kami sudah mula serasi bersama,”katanya kepada Sukan NSTP.

Safawi yang membantu Malaysia menewaskan Myanmar baru-baru ini dilihat serasi apabila diturunkan bersama-sama dengan Norshahrul Idlan Talaha, Zaquan Adha dan Mohamadou Sumareh.

Beliau dilihat beberapa kali melakukan larian yang mengelirukan pasukan lawan serta membantu dalam membuka permainan bagi memudahkan penyerang lain berada pada posisi yang baik.

Justeru pada perlawanan bertemu Thailand nanti, Safawi menegaskan bahawa Harimau Malaya perlu lebih berdisiplin dalam mengatur serangan dan menerima asakan.

“Jurulatih kami (Tan Cheng Hoe) memberitahu kami bahawa kami perlu berdisiplin dalam pendekatan kami.

“Myanmar memainkan serangan balas terhadap kami tetapi kami telah bersedia ditambah dengan garis pertahanan kami yang kukuh,” katanya kepada Sukan NSTP.