Malaysia Berita

FAM Mohon Maaf

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Myanmar, Lovely Heart Organization, Ko Thet semalam bagi menyatakan permohonan maaf terhadap penyokong Myanmar yang menjadi mangsa serangan penyokong Malaysia pada pertemuan Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil melibatkan kedua-dua negara. 

FAM yang diwakili oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam menyatakan setakat ini tiada laporan polis yang dibuat seperti yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

“Sebagai badan induk bola sepak yang menaungi semua kegiatan sukan ini, saya bagi pihak FAM memohon maaf secara rasmi kepada penyokong terbabit.

“FAM telah mengambil langkah-langkah keselamatan di persekitaran stadium tetapi tidak mampu mengawal kejadian tidak diingini yang di luar kawasan kami. Kami menggesa agar semua penyokong mengamalkan prinsip kesukanan yang tinggi, sebelum, ketika dan selepas menonton perlawanan,” kata Stuart.

Laporan yang tular menerusi media sosial mendakwa 20 penyokong Myanmar termasuk wanita diserang kira-kira 30 penyokong Malaysia dan dibawa menjalani rawatan di hospital. 

Bagaimanapun, penyokong yang mendakwa menjadi mangsa itu enggan memenuhi jemputan FAM, sebaliknya menyerahkan kepada Ko Thet untuk menjadi wakil mereka.