Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Tan Cheng Hoe Waspada Ancaman Thailand

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe mengakui bahawa beliau sedang mengkaji corak taktikal permainan Thailand menjelang perlawanan separuh akhir pertama yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. 

Cheng Hoe mengakui bahawa Thailand adalah pasukan yang lengkap daripada posisi penjaga gol sehingga ke jabatan penyerang mereka. Walaupun tidak menurunkan beberapa bintang utama yang beraksi di liga Jepun, Thailand tetap mempunyai pilihan pemain yang mampu mengalas tugas dengan baik.

Justeru, Cheng Hoe mengingatkan kepada anak buahnya agar tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada kerana Thailand adalah pasukan yang tidak boleh diberi sedikit ruang kerana mereka akan menggunakan ruang itu untuk menghukum pasukan negara.

“Kami tengok beberapa perlawanan mereka (Thailand) di peringkat kumpulan dan walaupun tak turunkan tiga atau empat pemain bintang mereka, kami boleh nampak mereka satu pasukan yang lengkap.

“Bermula dari penjaga gol hingga ke jentera serangan, pemain mereka memang bagus. Thailand memiliki pemain dan liga yang berkualiti.

“Pemain saya tidak boleh hilang fokus dan perlu lebih agresif. Kami tahu pemain mereka terutama Adisak (Kraisorn) cukup berbahaya kerana walaupun dapat peluang sedikit saja dia boleh jaringkan gol,” katanya ketika kepada Berita Harian.

Untuk rekod, pertemuan dengan Thailand bakal mengulangi aksi final Piala AFF Suzuki edisi 2014 dimana pasukan negara tewas melalui agregat, 3-4 pada tahun itu.