Liga Super Malaysia Berita

Rufino Masih Berada Dalam Perancangan Sathianathan

Pengendali baharu Selangor, B. Sathianathan menyatakan bahawa khidmat bekas pemain Atletico Madrid, Rufino Segovia masih diperlukan serta mahu mengekalkan beliau bagi aksi Liga Super musim hadapan.

Penjaring terbanyak Liga Super musim lalu ini memilik pakej lengkap sebagai seorang penyerang yang berbisa di dalam kotak penalti tambahan pula seorang pemain yang rajin membantu rakan sepasukan.

Beliau yang baharu sahaja dilantik sebagai pengendali Selangor tanpa berdolak dalih mengharapkan segala perbincangan Rufino dengan pihak pengurusan dapat diselesaikan dengan segera dan berharap pemain itu kekal bersama The Red Giants.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya oleh pihak pengurusan atasan, mereka masih lagi berunding dengan Rufino dan saya amat berharap supaya dia kekal untuk bersama Selangor lagi,” katanya kepada Sukan NSTP.

“Bagi saya secara peribadi, kehadiran Rufino dalam pasukan seperti bonus kerana pemain itu boleh bermain bukan saja sebagai penyerang malah boleh juga bertahan.

“Dia juga rajin untuk turun ke bawah membantu barisan tengah dan pertahanan selain kemampuan dirinya bijak membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukan lain ketika menyerang.

“Jadi saya melihat dia adalah aset berharga buat Selangor dan kalau kita lepaskannya ia suatu kerugian besar kerana tidak semua penyerang import mampu melakukan dua atau tiga kerja dalam permainan,” katanya.

Kehadiran Rufino berjaya memberi impak kepada pasukan Selangor apabila beliau menjaringkan 19 gol dalam Liga Super, sembilan gol untuk saingan Piala FA dan berjaya membawa Selangor mara ke final Piala FA.

“Dia sudah buktikan betapa dia antara penyerang terbaik liga kita apabila memenangi dua anugerah iaitu penjaring terbanyak dan pemain import terbaik. Sudah pasti ia sebab utama mengapa pasukan perlu mengekalkan pemain itu,” katanya kepada Sukan NSTP