Liga Super Malaysia Berita

MU Guna Khidmat Nidzam Adzha

Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengumumkan pada satu sidang media bahawa bekas pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff bakal menjadi pembantu jurulatih yang baharu bagi aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Beliau yang akan bergandingan bersama dengan ketua jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan adalah pilihan ketua jurulatih MU sendiri pada perjumpaan dengan pengurusan tertinggi pasukan.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan bahawa beliau sendiri terkejut dengan pilihan Zainal Abidin apabila jurulatih yang mempunyai reputasi serta pengalaman yang luas akan turut sama membantu dalam menaikkan kembali bolasepak MU.

“Saya terperanjat apabila nama Nidzam diutarakan oleh Zainal namun saya akui ini adalah satu gandingan yang mantap apabila dua nama besar bergabung untuk mengendalikan MU.

“Sebagai pengurusan, kami tidak menolak permintaannya kerana kita tidak boleh meletakkan individu sembarangan sebagai pembantu jurulatih. Sudah tentu Zainal memerlukan individu yang boleh bekerjasama dengannya.

“Kedua-duanya pernah membawa pasukan terdahulu merangkul kejayaan jadi saya optimis mereka mampu melakukannya bersama MU. Zainal meletakkan kepercayaan bahawa Nidzam mampu untuk membantunya mengemudi pasukan ini ke arah yang lebih baik,” katanya kepada Berita Harian.