Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Inilah Yang Berlaku Di Vietnam Menjelang Pertemuan Dengan Malaysia

Para peminat bolasepak Vietnam mula berbaris seawal pagi untuk mendapatkan tiket perlawanan diantara Vietnam bertemu Malaysia bagi aksi kedua buat The Golden Dragon dan aksi ketiga buat Harimau Malaya pada peringkat Kumpulan A, Piala AFF Suzuki 2018, hari ini.

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) sepatutnya sudah masak dengan situasi ini apabila dua seteru Asia Tenggara bertemu dan sepatutnya sudah mempunyai satu sistem jualan tiket di dalam talian.

Cuaca sejuk dan hujan di Hanoi tidak mematahkan semangat para penyokong Vietnam untuk mendapatkan tiket, ada beberapa peminat yang sudah berkhemah di perkarangan Stadium My Dinh sejak semalam bagi mendapatkan tiket perlawanan.

Biarpun halangan sudah dipasang oleh pegawai keselamatan sebelum kaunter dibuka jam 8 pagi, tetapi halangan itu tidak bertahan lama disebabkan ramai peminat yang berpusu-pusu untuk mendapatkan tiket.

Ada juga segelintir peminat yang tidak sabar terus memanjat pagar tetapi tidak dapat turun ke bawah kerana lautan manusia yang berebut-rebut untuk mendapatkan tiket.

Sementara itu, VFF membuat peraturan bahawa satu orang hanya boleh mendapatkan empat keping tiket dan dalam masa satu jam kesemua 9,000 tiket sudah habis dijual. Manakala ada lebih 1,000 pertubuhan dan persatuan meminta 60,000 tiket diperuntukan tetapi kapasiti stadium hanya boleh dimasuki dengan 40,000 orang sahaja.

Dalam satu kenyataan lain, VFF melalui Setiausaha Agung VFF, Le Haoi Anh bercadang untuk membuat satu sistem jualan dalam talian apabila melihat kepada keadaan yang kacau bilau disebabkan isu pembelian tiket.

Beliau juga menjelaskan bagaimana tiket ini diedarkan ; terdapat 4,000 tiket percuma, yang mana 2,000 adalah untuk Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), 8 peratus daripada tiket (3,200) diperuntukkan untuk peminat Malaysia dan peminat Vietnam mendapat 24,000 tiket.

Selebihnya tiket pergi ke penaja, organisasi bola sepak, pasukan bola sepak kebangsaan, pusat latihan, dan pengadil dan pegawai.

“Kejohanan ini dihoskan oleh AFF, jadi kami perlu mematuhi peraturan mereka. VFF perlu mengedarkan tiket percuma serta tiket untuk penaja dan peminat Malaysia.”

Vietnam akan bertemu Malaysia di Stadium My Dinh dalam perlawanan kumpulan A, hari ini.