Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Vietnam Waspada Perang Psikologi Malaysia

Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo tidak mahu terperangkap dengan kata-kata pengadali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelang perlawanan kedua bagi Vietnam ketika menerima kunjungan Malaysia bagi aksi Kumpulan A, Piala AFF Suzuki 2018 yang akan berlangsung hari ini.

Sebelum ini, Cheng Hoe memberi pujian kepada anak buah Vietnam serta menyatakan bahawa pasukan Hang-seo mempunyai kelebihan dengan rehat yang cukup. Sebaliknya, beliau percaya Tan Cheng Hoe tidak datang ke Vietnam hanya untuk mencatat keputusan seri, tetapi mahukan kemenangan.

“Saya tak fikir beliau (Cheng Hoe) hanya mahu satu mata, beliau mesti datang ke sini untuk meraih kemenangan. Tidak kisah apa yang beliau katakan, kami tetap akan bersedia dan menyerang habis-habisan,” katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini.

Vietnam yang dipenuhi dengan pemain skuad bawah 23 tahun yang muncul naib juara Kejohanan AFC di China pada Januari turun dengan satu reputasi yang hebat selaku pasukan terbaik Asia Tenggara.

The Golden Dragons yang menduduki rankin 102 dunia berbanding Malaysia yang berada di tangga ke 169 dunia dibarisi oleh 15 pemain skuad bawah 23 tahun yang digelar generasi emas manakala dibantu dengan lapan pemain senior.

Park Hang-seo juga meminta pemainnya agar tidak mengulangi kesalahan yang sama ketika bertemu skuad Harimau Malaya hari ini.

“Pada perlawanan dengan Laos, kami menghadapi masalah di bahagian pertahanan dan ketika melakukan hantaran. Kami sudah menjalani latihan dan harap kami boleh beraksi lebih baik selepas ini,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia pernah menewaskan Vietnam 4-2 pada aksi separuh akhir kedua di Hanoi pada 2014 dan menebus kembali kekalahan tersebut pada 2016 dengan menewaskan Malaysia di peringkat kumpulan dengan kemenangan 1-0.