Malaysia Berita

Akhyar – ‘Goreng Pisang Panas’ Musim Ini

Akhyar Rashid, 19 tahun adalah ‘goreng pisang panas’ pada musim ini. Selain daripada bermain untuk Kedah untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M), beliau juga telah bermain untuk pasukan kebangsaan B-19 pada Piala AFF di Indonesia, pasukan kebangsaan B-23 pada Piala AFC di China, Sukan Asian di Jakarta dan beberapa penampilan dalam perlawanan persahabatan untuk skuad senior.
Anak kelahiran Kedah ini seperti tidak kisah khudratnya dikerah sehabis baik dan percaya masih ada lagi kemampuan beliau yang tidak ditonjolkan.
Beliau yang sekarang berada bersama dengan skuad kebangsaan, Harimau Malaya setelah selesai tugas bersama pasukan B-19 negara pada Piala AFF di Indonesia baru-baru ini ternyata sudah bersedia untuk memberi aksi terbaik serta membantu skuad kebangsaan pada Piala AFF 2018 yang bakal berlangsung bulan hadapan.
“Saya baru memulakan latihan dengan skuad kebangsaan kerana sebelum ini saya diberi cuti selepas selesai Kejohanan AFC di Indonesia. Saya harap dapat beri persembahan terbaik untuk pasukan,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau yang tidak dapat diturunkan pada perlawanan awal B-19 mengakui mengalami kecederaan melibatkan kekejangan otot tetapi percaya kecederaan itu bukan halangan.
“Kadang-kadang saya alami kejang otot, namun apa yang penting saya kena cukup rehat dan kena buat lebih latihan kecergasan bagi kempen Piala AFF nanti,” kata Akhyar.
Pasukan kebangsaan akan turun beraksi didalam perlawanan persahabatan bertemu Maldives, Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berhadapan dengan Kemboja pada perlawanan pertama Piala AFF.