Malaysia Berita

Tunku Ismail Ucap Selamat Tinggal

Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim, Presiden Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengucapkan selamat maju jaya kepada Safiq Rahim, pemain tengah Johor Darul Ta’zim setelah Safiq Rahim memilih untuk tidak lagi bermain bersama JDT untuk musim depan.
Pemain kelahiran Selangor ini adalah salah seorang daripada pemain terawal yang ditandatangi oleh Tunku Ismail apabila beliau mengambil tampuk pimpinan JDT dan menjadi sebahagian daripada sistem revolusi JDT.
Tunku Ismail juga menyatakan bahawa Safiq Rahim adalah salah seorang pemain yang paling berjaya dan telah menyumbangkan banyak perkara bukan sahaja di JDT tetapi untuk Selangor dan pasukan Kebangsaan.
“Selamat maju jaya diucapkan kepada Safiq Rahim. Dari pandangan ikhlas saya, beliau merupakan pemain yang paling berjaya sekali dalam Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan telah banyak membantu JDT untuk mencapai matlamat-matlamat kami.
“Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola sepak terbaik yang bukan sahaja telah memberi sumbangan kepada JDT tetapi juga kepada kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan.” Kata Tunku Ismail seperti yang dipetik di dalam Facebook Johor Southern Tigers.
 
Safiq Rahim yang jarang bermain untuk JDT pada musim lepas semasa dibawah kendalian jurulatih Mora telah mengundang spekulasi dari para peminat bolasepak tanah air.
 
Tunku Ismail juga telah berkata bahawa JDT sentiasa bersikap terbuka kepada semua pemain dan tidak akan menolak mana-mana pemain yang ingin kembali.
 
“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak akan tahu sama ada Safiq akan kembali semula atau tidak suatu hari nanti. Saya pun tidak tahu.
“Pintu di Johor sentiasa terbuka untuk beliau dan walau apa pun, setinggi-tinggi ucapan terima kasih dari saya, JDT dan semua penyokong serta Keluarga JDT. Macam mana sekalipun, anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari Keluarga JDT.” Katanya
 
Sebagai rekod, Safiq Rahim telah memenangi satu Piala AFC dan enam Liga Super bersama-sama JDT.