Malaysia bakal menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 dengan turun menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Apa yang menarik tentang skuad kebangsaan kali ini, sebanyak 11 pemain B-23 dan sebahagian bekas pemain B-23 negara antara yang disenaraikan oleh Tan Cheng Hoe bagi menghadapi pusingan kelayakan ini.
Ia adalah angka yang besar untuk satu pasukan senior memandangkan pemain muda ini telah mempunyai pengalaman yang luas dalam kancah bola sepak antarabangsa kerana ada diantara mereka yang pernah beraksi di Kejuaraan AFC B-23 2018 di China dan persembahan yang baik pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.
Bagi Tan Cheng Hoe, beliau melihat pemain muda sebagai aset masa depan bola sepak negara.
“Saya nampak pemain B-23 ramai yang mempunyai potensi besar untuk masa depan pasukan negara. Kita perlu membentuk sebuah pasukan masa depan yang mantap, itu sebabnya saya serapkan ramai kerana kalau kita tengok dari segi pengalaman, pencapaian dan prestasi sejak 2017, itu kriteria yang memberi saya keyakinan.
“Pemain-pemain ini satu hari nanti boleh memberikan persembahan terbaik untuk pasukan negara,” katanya kepada Bernama.