Liga Super Malaysia Berita

Aidil setia bersama Kedah biarpun wujud minat dari Liga Indonesia

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak akui terkejut dengan minat yang ditunjukkan oleh kelab dari Liga Indonesia, Persija Jakarta.

Minat yang ditunjukkan oleh kelab dari Indonesia ini hanya diketahui melalui ejennya, jelas jurulatih berusia 41 tahun.

“Saya dimaklumkan ejen mengenai tawaran daripada pihak Persija Jakarta itu. Namun saya menganggap perkara itu sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana kelab yang merancang untuk mendapatkan jurulatih terbaik untuk pasukan.

“Malah saya juga mendapati ada beberapa paparan dalam media sosial yang mahu pengurusan Persija Jakarta mendapatkan khidmat saya selepas rekod kejayaan Home United menewaskan kelab itu di laman sendiri dan tempat lawan musim lalu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau tetap akan memberi komitmen sepenuhnya bersama Kedah dan akan tetap setia bersama Helang Merah.

“Walaupun saya ditawarkan jawatan berkenaan namun saya tetap menghormati dan menghargai kontrak saya dengan pengurusan Kedah yang bermula pada musim ini.”

“Ini prinsip kerja saya selama ini dan saya tidak menganggap duit itu adalah segala-galanya jadi saya mahu terus fokus dengan kerjaya saya di Kedah.” katanya.