Malaysia Berita

Jendela perpindahan kedua pemain alami penurunan

Jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia 2019 dilihat mengalami penurunan perpindahan pemain paling minima pada musim ini berbanding tahun-tahun sebelumnya selepas berakhirnya proses pendaftaran pemain pada Rabu.

Jelas Ketua Pegawai Operasi, COO Malaysian Football League (MFL) Mohd Shazli Shaik Mohd, walaupun jurang perbezaan musim ini dan tahun lalu tidaklah terlalu besar, tetapi penurunan ini tetap merupakan sesuatu yang positif telah ditampilkan daripada semua pasukan.

Ini membuktikan setiap pasukan tampak lebih bijak menguruskan pemain-pemain sedia ada daripada awal musim lagi selain faktor berjimat-cermat yang diterapkan oleh pihak pengurusan untuk tidak terlalu ghairah mendaftar pemain sesuka hati tanpa mengira peruntukan mereka sendiri.

Pada musim lalu, seramai 36 orang pemain tempatan dan 35 pemain import telah didaftarkan pada jendela perpindahan kedua manakala musim ini berlaku pengurangan dengan bilangan 28 pemain tempatan dan 32 pemain import.

“Walaupun jurang perbezaan tidak terlalu besar, tapi tahun ini merupakan penurunan paling minima daripada pasukan pada jendela perpindahan kedua.

“Banyak faktor kita dapat simpulkan di mana paling utama adalah apabila pihak pengurusan kini sudah matang dan lebih bijak mengendalikan struktur pasukan mereka sendiri tanpa memerlukan banyak rombakan pada pertengahan musim.

“Ini satu hasil positif daripada statistik yang kita peroleh selain faktor berjimat-cermat juga ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Bahkan pemain-pemain yang terlibat dalam jendela perpindahan ini juga bukanlah pemain yang bergaji terlalu tinggi jika dibandingkan pada musim-musim lalu yang mana ada pasukan terlalu ghairah ingin menukar kepada pemain bergaji besar,” katanya.

Dalam masa yang sama, Shazli turut memuji kerjasama yang telah ditampilkan oleh setiap pasukan pada musim ini untuk memudahkan proses pendaftaran pemain di jendela perpindahan kedua ini.

Ini membuktikan mereka makin matang menguruskan pasukan dengan lebih baik pada musim ini apabila tidak timbul sebarang masalah sepanjang jendela perpindahan kedua dibuka sejak 2 Mei lalu.

Daripada aspek lain, Shazli mengharapkan semua pihak akan teruskan momentum pengurusan pasukan yang baik ini pada musim depan untuk tidak melakukan rombakan besar pada jendela perpindahan kedua bagi memastikan prestasi keseluruhan skuad tidak terjejas.

“Kami di MFL mahu ucapkan terima kasih kepada setiap pasukan yang sangat memahami proses pendaftaran pemain ini dan memudahkan kerja untuk mendaftarkan pemain di jendela perpindahan kedua.

“Mungkin juga taklimat-taklimat yang pernah diuruskan oleh unit pertandingan membantu sedikit sebanyak untuk memastikan proses pendaftaran tidak mengalami masalah.

“Dan kita harapkan ia akan berterusan pada musim depan dengan memastikan rombakan pasukan pada pertengahan musim dapat dikurangkan,” jelasnya.