Malaysia Berita

Misi Sukar Skuad B-19

Skuad bawah 19 tahun negara akan berhadapan Tajikistan hari ini bagi perlawanan kedua Kejohanan Bawah 19 (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia.

Para pemain skuad muda negara perlu bangkit bagi mencipta kemenangan jika mahu terus kekal bersaing pada kejohanan ini.

Sebelum ini, anak buah Bojan Hodak gagal mengutip sebarang mata setelah tewas 1-2 di tangan Arab Saudi pada aksi pembukaan Kumpulan D, Sabtu lalu.

Walaubagaimanapun, Bojan Hodak percaya kemampuan anak buahnya serta menegaskan bahawa tiada apa yang mustahil untuk mereka mencipta pada perlawanan nanti. 

“Tajikistan mempamerkan permainan cukup mantap ketika mengatasi China. Mereka pasukan yang amat kuat dan ia pasti menyukarkan kami.

“Walaupun fizikal pemain mereka tidak terlalu besar tapi mereka beraksi dengan penuh disiplin. Kami akan cuba memberikan aksi lebih baik berbanding ketika menentang Arab Saudi.

“Moral pemain juga baik dan mereka cuma perlu memperbaiki beberapa kesilapan yang dilakukan ketika aksi pertama peringkat kumpulan,” katanya kepada Berita Harian.

Selain itu, Hodak turut mengesahkan beberapa pemainnya mengalami kecederaan selepas perlawanan dengan Arab Saudi.

“Semalam kami lakukan sesi pemulihan dan ada empat atau lima pemain mengalami kecederaan, tapi ia tidak serius.

“Saya fikir mereka tiada masalah untuk diturunkan esok. Apa pun saya akan menilai keadaan semua pemain selepas sesi latihan terakhir,” katanya kepada Berita Harian.