Malaysia Berita

Mana Lim Teong Kim?

“Saya rasa lebih baik tanya Lim Teong Kim sendiri.”

Itu jawapan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai ketiadaan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu pada dua sesi dialog Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), hari ini.

Ketiadaan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim pada sesi dialog di Bukit Jalil awal hari telah menimbulkan beberapa tanda tanya.

Ini adalah kerana sesi dialog yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan juga semua pegawai yang terlibat dengan NFDP, termasuk jurulatih dan pegawai-pegawai dari seluruh negara.

Malah, jurulatih dari Sabah dan Sarawak turut hadir pada sesi dialog itu, persoalan ini menimbulkan tanda tanya dikalangan mereka yang hadir, mengapa Teong Kim, yang tinggal di kawasan Lembah Klang, tidak hadirkan diri pada sesi dialog kali ini.

Mungkin bekas Penolong Jurulatih Belia Bayern Munich ini mempunyai alasan tersendiri untuk tidak hadirkan diri pada sesi dialog kali ini, walaupun beliau menghadiri mesyuarat bersama Syed Saddiq pada pagi hari yang sama.

Sementara itu, Syed Saddiq mengakui bahawa dia telah berjumpa dengan Teong Kim lebih awal, mungkin untuk membincangkan isu gaji beliau sebanyak RM175, 000 sebulan yang dikecualikan daripada cukai.

Walaupun beliau tidak menolak membincangkan perkara itu, Syed Saddiq pula tidak mendedahkan butiran mesyuarat diantara beliau dan Teong Kim.

“Mari kita hanya tunggu dan lihat dahulu. Apa yang paling penting adalah pertemuan dengan semua pihak kerana kami perlu mendapatkan semua maklumat yang penting, selain mendapatkan pandangan dan pendapat daripada semua pihak berkepentingan.

“Kita perlu bergerak ke hadapan dan saya perlu berlaku adil dengan mendengar suara semua pihak yang terlibat sebelum membuat sebarang keputusan.

“Apa –apa pun, saya sudah bertemu dengan Teong Kim dan pertemuan kami berakhir dengan positif, itu sahaja yang boleh saya katakan,” kata Syed Saddiq.