Berita Asia Tenggara

FA Thailand umum perlawanan persahabatan menentang Trinidad dan Tobago

Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) telah mengumumkan bahawa skuad kebangsaan Thailand akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang salah satu pasukan yang pernah beraksi di Piala Dunia 2006.

FAT menerusi laman Facebook mereka mengumumkan bahawa skuad Thailand akan berdepan Trinidad and Tobago dalam satu perlawanan persahabatan kelas A pada 14 Oktober di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Mereka juga mengumumkan bahawa perlawanan tersebut bukan sahaja sekadar satu perlawanan persahabatan, tetapi juga satu perlawanan testimonial buat bekas penjaga gol mereka Sinthaweechai (Kosin) Hatairattanakul yang bersara pada tahun lalu.

Semua pasukan Asia Tenggara pastinya kini dalam rangka persiapan untuk Piala AFF Suzuki dan Thailand juga pastinya sedang bersiap untuk beraksi di Piala Asia pada tahun hadapan.

2018 bukanlah tahun yang baik untuk skuad kebangsaan Thailand apabila skuad bawah 23 tahun mereka terkandas di Kejohanan Piala AFC Bawah 23 tahun dan juga Sukan Asia.

Selain itu, skuad bawah 19 tahun dan skuad bawah 16 tahun mereka gagal menjulang piala di Kejohanan Piala AFF.