Malaysia

Stuart Ramalingam: FAM bincang penganjuran Liga Bawah-17

Setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa FAM bersedia untuk menganjurkan satu lagi pertandingan bola sepak bawah umur iaitu Liga Bawah-17 tahun (B-17).

Walaubagaimanapun, perkara tersebut masih lagi dalam perbincangan dan maklumat lanjut hanya akan diketahui selepas daripada ini.

“Perkara itu masih dalam perbincangan kerana ia masih perlu diperhalusi memandangkan pelaksanaannya membabitkan kerjasama dengan pelbagai pihak.”

“Bagaimanapun, cadangan ini dilihat bertepatan dengan fokus FAM untuk membesarkan lagi pilihan pemain kita di peringkat akar umbi selepas kita sudah menganjurkan dua saingan peringkat bawah umur ketika ini.”

“Ini adalah proses untuk FAM melengkapkan liga di bawah umur yang mana ia akan menjadi asas kepada pembangunan pemain belia di negara ini,” katanya.

Badan induk bola sepak Malaysia pada masa ini telah pun menganjurkan dua liga bola sepak bawah umur iaitu, Piala Presiden untuk pemain bawah 21 tahun dan Piala Belia untuk pemain bawah 19 tahun.

Kehadiran satu lagi kejohanan atau pertandingan bawah umur, khususnya bawah 17 tahun, akan membesarkan lagi pilihan pemain di peringkat akar umbi seterusnya merancakkan bola sepak negara ke arah lebih maju.

Akan tetapi, pemain bawah 17 tahun pada waktu ini telah pun mempunyai platform untuk bermain bola sepak dengan kompetitif iaitu saingan Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk bawah 17 tahun dan 14 tahun.

Setiausaha Agung FAM mengulas berkenaan perkara tersebut bahawa mereka akan mengadakan perbincangan supaya objektif bersama akan tercapai.

“Kita akan mencari langkah kerjasama yang baik dan melaksanakan saingan liga yang dapat mencapai objektif bersama,” katanya.